Bimbang Kesan Sampingan Selepas Divaksin Antara Faktor Kadar Vaksinasi Kanak-Kanak Rendah | Sabah News

Bimbang Kesan Sampingan Selepas Divaksin Antara Faktor Kadar Vaksinasi Kanak-Kanak Rendah | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Gambar Hiasan…

SHAH ALAM, SELANGOR – Risau adanya kesan sampingan selepas divaksin adalah antara faktor kadar vaksinasi COVID-19 kanak-kanak di Malaysia masih rendah.

“Disebabkan kebimbangan tersebut ianya membuatkan ibu bapa masih ragu-ragu untuk membenarkan anak masing-masing divaksin…

“Apabila dilaporkan ada berlaku kesan sampingan, ibu bapa ini akan menjadi risau.

“Pada saya, itulah sebenarnya antara perkara yang menyebabkan ibu bapa susah hati atau bimbang untuk memberi vaksin Covid-19 kepada anak-anak mereka ketika ini,” kata Pakar Kesihatan Awam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, lapor Sinar Harian.

Sementara itu Dr Sharifa Ezat meminta agar kerajaan supaya menilai kembali keputusan untuk tidak lagi menawar dos pertama vaksin Covid-19 di bawah PICKids selepas 15 Mei ini.

Jelas beliau, tindakan sedemikian dilihat terburu-buru dan akhirnya akan memberi kesan kepada rakyat khususnya kanak-kanak apabila program tersebut tidak lagi diteruskan…

Terdahulu, Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dilaporkan berkata, dos pertama vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) hanya akan diberikan sehingga 15 Mei ini dan tidak lagi akan ditawarkan selepas tarikh akhir berkenaan.

Keputusan itu dibuat bagi mengelakkan pembaziran vaksin Comirnaty kanak-kanak yang tidak digunakan dalam tempoh enam bulan selepas dikeluarkan pengilang.

“Bagi ibu bapa pula saya nasihatkan agar segera hantar anak-anak untuk mengambil vaksin demi keselamatan bersama memandangkan ketika ini jangkitan Covid-19 dalam kalangan kelompok itu membimbangkan.

“Kemungkinan selepas ini ibu bapa terpaksa membayar sekiranya menukar fikiran untuk benarkan anak-anak divaksin. Jadi, hentilah dengar berita yang tidak tepat, wujud konspirasi dan sebagainya kerana ia adalah tidak betul sama sekali,” kata beliau.