Syarikat Penerbangan, Pihak Berkepentingan Bincang Kaedah Terbaik Turunkan Harga Tiket Penerbangan | Sabah News

Syarikat Penerbangan, Pihak Berkepentingan Bincang Kaedah Terbaik Turunkan Harga Tiket Penerbangan | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong…

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata syarikat-syarikat penerbangan serta pihak berkepentingan telah berbincang untuk mencari langkah terbaik untuk menurunkan kadar tambang tiket penerbangan dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak yang telah naik mendadak.

Beliau berkata, perbincangan tersebut melibatkan tiga syarikat penerbangan iaitu Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Jelas beliau, perbincangan tersebut telahpun bermula Khamis lepas, dan dijangka dimuktamadkan pada bila-bila masa.

“Kita telah melihat rungutan yang kita dengar. Pertama, kita menyemak kesahihan aduan tersebut secara spesifik.

“Kedua, kita minta syarikat penerbangan, hendak tak hendak, kena buat (turunkan harga tiket) kerana ia adalah aspirasi kerajaan untuk turunkan harga akan datang…

“Kita faham disebabkan peperangan, krisis antara Rusia dan Ukraine menyebabkan tambang, harga minyak meningkat secara mendadak.

“Tetapi kita juga perlu melihat dalam konteks Malaysia. Kita faham Sabah, Sarawak dan Semenanjung, mod pengangkutan yang ada, cuma satu sahaja iaitu melalui penerbangan,” katanya.

Justeru, Wee berkata satu laporan lengkap berhubung perbincangan itu akan dibuat dan disampaikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Perdana Menteri sentiasa prihatin dan mengarahkan kepada saya supaya cari kaedah yang praktikal, apa sahaja cara sekali pun…

“Jadi saya rasa kami rasa terpanggil untuk melihat formula-formula yang telah dicadangkan.

“Syarikat-syarikat penerbangan terpaksa mencari satu kaedah (sama ada) nak tambah frekuensi, cara bagaimana, macam mana nak cari pesawat…membatalkan penerbangan ke mana…semuanya harus dilihat secara total…perlukan penyelarasan yang baik dengan satu sama lain,” katanya.

Menurutnya hasil daripada perbincangan itu kemudiannya akan diumumkan Perdana Menteri dalam dua tiga hari lagi.

Terdahulu, media melaporkan berdasarkan pemantauan terhadap laman web syarikat penerbangan komersial baru-baru ini menyaksikan tambang penerbangan melonjak sehingga RM2,000 (penerbangan pergi balik) iaitu peningkatan sekitar 566 peratus, menjelang tempoh perayaan Hari Raya Aidilfitri (bagi tempoh 29 April hingga 8 Mei).