Syarikat Penerbangan Diingatkan Untuk Tidak Ambil Kesempatan Naikkan Harga Tiket Penerbangan – PM | Sabah News

Syarikat Penerbangan Diingatkan Untuk Tidak Ambil Kesempatan Naikkan Harga Tiket Penerbangan – PM | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob…

PAHANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi amaran agar pengendali syarikat penerbangan domestik untuk tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan kadar tambang tiket penerbangan.

Katanya, ini terutama sekali penerbangan dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak pada musim perayaan Aidilfitri.

Jelas beliau, sekiranya terdapat kenaikan harga tambang penerbangan, tindakan boleh dikenakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011

“Saya telah mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) (Datuk Seri Alexander Nanta Linggi) untuk segera melihat perkara itu (kenaikan harga).

“Kementerian perlu tegas dan tidak kira sama ada ia melibatkan syarikat besar atau kecil…

Tindakan tegas juga perlu diambil untuk menjaga kepentingan rakyat.

“Kita tidak boleh membiarkan perniagaan mengambil kesempatan dengan memberi tekanan kepada rakyat pada bulan puasa dan musim perayaan,” katanya hari ini.

Terdahulu, tiket penerbangan syarikat penerbangan komersial baru-baru ini telah melonjak sehingga RM2,000 bagi penerbangan pergi dan balik menjelang tempoh perayaan Hari Raya Aidilfitri iaitu pada 29 April hingga 8 Mei.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata beliau sudah berbincang dengan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong untuk bertemu pengendali syarikat penerbangan bagi mengurangkan harga tiket.

“Saya difahamkan menteri telah berjumpa dengan pengusaha untuk mengkaji langkah-langkah untuk melihat kemungkinan mengurangkan harga tiket yang melampau,” katanya.