Polis Tahan Lelaki Disyaki Ahli Sindiket Macau Scam | Sabah News

Polis Tahan Lelaki Disyaki Ahli Sindiket Macau Scam | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Gambar Hiasan…

BALIK PULAU – Polis menahan seorang lelaki disyaki terlibat dengan sindiket Macau Scam sehingga menyebabkan seorang mangsa kerugian RM28,000 kononnya terlibat dalam pengubahan wang haram dan pengedaran dadah, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal yang dipetik Bernama berkata, lelaki berusia 30-an itu ditahan di Taman Ria Jaya, Sungai Petani di Kedah dua hari lepas hasil
risikan dan siasatan yang dijalankan oleh pihak polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Barat Daya.

“Berdasarkan laporan diterima, seorang wanita telah terima panggilan telefon dari seorang lelaki mendakwa sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memaklumkan nama mangsa mempunyai cukai tertunggak sebanyak RM36,000 lalu talian disambungkan ke pegawai polis dan dimaklumkan dia juga mempunyai rekod jenayah pengubahan wang haram serta pengedaran dadah…

“Mangsa turut ditawarkan bantuan oleh individu bergelar ‘Datuk’ dan bersetuju untuk memindahkan wang dari akaunnya ke akaun yang diberi untuk siasatan lanjut, dia membuat dua kali pemindahan duit sebanyak RM28,000 sebelum menyedari dirinya telah tertipu setelah terbaca penipuan berkenaan di Facebook,” katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya polis kini giat mengesan rangkaian sindiket Macau Scam itu dan lelaki bekerja sendiri yang ditahan tersebut kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, dalam perkembangan lain Kamarul Rizal berkata polis menahan seorang lelaki berusia 20-an yang disyaki dijadikan “keldai akaun” oleh sindiket Macau Scam, dalam serbuan di sini dua hari lepas.

Katanya lelaki itu ditahan susulan siasatan yang dijalankan berhubung laporan polis dibuat seorang suri rumah berusia 40-an yang menjadi mangsa sindiket Macau Scam sehingga kerugian RM9,200 dalam kejadian September tahun lepas.

“Wanita itu memaklumkan menerima panggilan daripada pegawai LHDN dan polis mendakwa kononnya mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM17,670.06 selama 15 bulan, di perlu menjelaskan tunggakan tersebut jika tidak mahu dikenakan tindakan mahkamah dan pemotongan dalam akaun simpanan mangsa…

“Tanpa rasa curiga pengadu telah memberikan maklumat akaun bank kepada sindiket itu sebelum mendapati duit simpanannya dalam Tabung Haji yang berjumlah RM9,200 telah dipindahkan ke akaun bank lain tanpa pengetahuannya,” katanya.

Katanya lelaki yang ditahan itu kini direman selama empat hari dan kes tersebut disiasat menurut Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997.