Jumlah Kes COVID-19 Dijangka Meningkat Pada Musim Perayaan Aidilfitri – KJ | Sabah News

Jumlah Kes COVID-19 Dijangka Meningkat Pada Musim Perayaan Aidilfitri – KJ | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin…(Sumber Foto: Bernama)

KUALA TERENGGANU – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan peningkatan jumlah kes COVID-19 berlaku pada musim perayaan Aidilfitri yang bakal tiba susulan aktiviti warga kota balik ke kampung halaman secara serentak bagi menyambut perayaan berkenaan.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata risiko jangkitan akan meningkat berikutan pergaulan antara keluarga dan saudara mara ketika menyambut perayaan itu nanti tanpa ada sebarang kawalan ketat standard operasi prosedur (SOP).

“Ini raya (Aidilfitri) pertama kita boleh rentas negeri dalam tempoh dua tahun yang mana keluarga yang ramai akan balik sekali, mungkin bila kita bagi kebenaran rentas negeri, mungkin seorang dua yang balik tetapi kini semua akan balik serentak…

“Ya, memang betul raya ini kita jangka akan meningkat kes terutamanya bila balik nanti dia akan bergaul antara saudara mara dia.

“Dia tidak akan pakai mask (pelitup muka), jadi ada risiko naik, jadi kita (Kementerian Kesihatan) bersedia untuk memberi rawatan kepada mereka kalau gejala dia teruk,” katanya selepas melawat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sempena Lawatan Kerja ke Terengganu di sini semalam.

Dalam pada itu, Khairy turut merayu warga emas terutama mereka yang menghidap penyakit tekanan darah tinggi, diabetes dan sistem imun yang lemah untuk mengambil dos penggalak bagi melindungi diri.

Beliau berkata, setakat ini, hanya 77 peratus (77%) individu berusia 60 tahun ke atas menerima dos penggalak dan pihaknya menyasarkan lebih 90 peratus golongan terbabit akan mengambil suntikan berkenaan.

“Kalau dahulu mereka mungkin beri alasan tidak mahu ambil kerana tidak pergi ke mana-mana tetapi hari raya ini anak (yang berada di perantauan) akan balik, jadi lebih kita ambil dos penggalak itu…

“Jadi saya harap sebulan dua ini dapat capai ke peringkat 90 peratus kalau kesedaran dalam kalangan warga emas terutamanya bila dia tahu raya ini anak dia akan balik, dia sendiri sukarela untuk melindungi diri mereka

“Kita akan usahakan untuk kita sampai ke sasaran 90 peratus warga emas dapat dos penggalak,” katanya.