Thailand Dijangka Hadapi Peningkatan Kes COVID-19 Selepas Pesta Perayaan Songkran | Sabah News

Thailand Dijangka Hadapi Peningkatan Kes COVID-19 Selepas Pesta Perayaan Songkran | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Kes Covid-19 Thailand dijangka meningkat selepas pesta Songkran…

BANGKOK, THAILAND – Kes jangkitan Covid-19 di Thailand dikatakan mungkin akan meningkat dua atau tiga kali ganda selepas perayaan Songkran.

Amaran tersebut dikeluarkan oleh seorang pakar perubatan iaitu Profesor Madya Thira Woratanarat daripada Fakulti Perubatan Universiti Chulalongkorn menerusi catatan di laman Facebooknya.

Jelas beliau, ini kerana seperti tahun lepas, kes jangkitan di negara tersebut meningkat disebabkan banyak pesta diadakan di tempat-tempat hiburan.

Beliau merujuk laporan media yang memaparkan banyak restoran yang dijadikan tempat hiburan gagal mengikuti langkah-langkah keselamatan Covid-19 apabila pengunjung berpesta, minum arak dan menembak pistol air di tempat yang sesak. 

“Anda perlu membuang buku teks (perubatan) anda jika perkara sedemikian tidak membawa kepada penularan…

“Ia mempunyai semua faktor penyumbang termasuk kesesakan, jarak dekat, pengudaraan yang lemah, perkongsian objek dan tempoh masa yang lama,’’ ujar beliau, lapor Nation Thailand.

Dr. Thira menyatakan, jumlah kes harian Covid-19 telah meningkat dua hingga tiga kali ganda selepas cuti pesta Songkran tahun lepas dan beliau menjangkakan situasi serupa berlaku tahun ini.

“Kesannya tidak terhenti di situ. Jumlah itu akan meningkat sekali lagi sebulan kemudian,” tambahnya…

Beliau juga memaklumkan bahawa Thailand pada Rabu lalu menduduki tempat ketujuh di dunia dan ketiga di Asia untuk bilangan orang dilaporkan positif Covid-19 selepas melakukan ujian kendiri.

Juga pada hari yang sama, kematian akibat Covid-19 di Thailand menduduki tempat ke-9 dunia iaitu 15.4 peratus daripada jumlah kematian yang dilaporkan di Asia.

Thira menyalahkan lonjakan kes Covid-19 atas persepsi meluas bahawa varian Omicron yang dominan pada masa ini adalah ringan dan boleh dikawal.

Beliau turut memberi amaran bahawa walaupun selepas sembuh, pesakit Covid-19 mungkin menghadapi risiko kesan kesihatan jangka panjang yang menjejaskan kehidupan seharian mereka.