Persatuan Pengusaha Kraftangan, Manik Tenunan Etnik Rungus Matunggong Diwujudkan | Sabah News

Persatuan Pengusaha Kraftangan, Manik Tenunan Etnik Rungus Matunggong Diwujudkan | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Julita (duduk, tengah) bergambar kenangan bersama ahli PENENUN…

KUDAT, SABAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, Datuk Julita Majungki telah mengadakan satu perjumpaan dengan Persatuan Pengusaha Kraftangan, Manik dan Tenunan Rungus Matunggong (PENENUN).

Persatuan ini adalah yang pertama diwujudkan di Matunggong untuk menjangkau semua pengusaha kraftangan, manik dan tenunan yang kebanyakannya terdiri daripada kaum wanita.

Pertemuan dibuat dengan barisan AJK PENENUN untuk sesi suaikenal dan taklimat ringkas mengenai tujuan dan matlamat persatuan, di pejabat Badan Penyelaras KDCA baru-baru ini.

Julita yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat bertindak sebagai penaung dan penasihat.

Julita (kiri) sedang bercakap dalam pertemuan dengan PENENUN di pejabat Badan Penyelaras KDCA…

Manakala Pengerusinya ialah Roslin Momili dari KampungTinangol, seorang pengusaha tenunan dan manik yang aktif di Matunggong.

Sementara itu, ahli jawatankuasa (AJK) juga terdiri daripada pengusaha aktif dan mahir dalam bidang kraftangan, manik dan tenunan.

“Wanita Rungus terkenal dengan kemahiran tenunan, sulaman, manik dan kraftangan Rinago.

“Corak tenunan dan kerja manik Rungus mempunyai identiti tersendiri yang popular di kalangan masyarakat tempatan Sabah,” katanya.

Julita berkata, telah tiba waktu untuk mengangkat industri ini ke tahap yang baharu…

Tambahnya, persatuan tersebut baharu sahaja diluluskan pendaftaran oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada penghujung tahun lalu.

Antara tujuan dan matlamat persatuan ini ialah membantu meningkatkan pembangunan sosioekonomi pengusaha dalam sektor ini, memberi kursus, bengkel dan pendedahan kemahiran tenunan, manik dan kraftangan kepada golongan muda dalam komuniti rungus, menjaga kualiti dan keaslian motif tradisi Rungus, membantu promosi hasil kraftangan, penetapan harga standard dan lain-lain.