Kuatkan Ikatab Ukhuwah Islamiyah – Jahid | Sabah News

Kuatkan Ikatab Ukhuwah Islamiyah – Jahid | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

JAHID Menyerahkan sumbangan 100 naskhah buku bacaan Yassin kepada Awang Ali…

TAMPARULI, SABAH – Masyarakat diseru menguatkan dan memelihara ikatan persaudaraan sesama Muslim demi perpaduan umat Islam.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, agama Islam mendidik umatnya untuk saling menyayangi, kerana persaudaraan itulah yang menguatkan hubungan ukhuwah sesama umat Islam.

“Sifat saling menyayangi, memelihara ukhuwah dan sentiasa membina tautan hati dengan kasih pasti mendapat berkat dan rahmat Allah SWT,” katanya…

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Dan Penyampaian Sumbangan, di Dewan Serbaguna Kampung Kauluan, dekat sini hari ini.

FOTO Kenangan Jahid, Suffian, bersama pemimpin masyarakat dan semua masyarakat di Kampung Kauluan…

Turut hadir Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak, Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar, Pegawai Tadbir JHEAINS Tamparuli, Ustaz Suffian Kundu, Pegawai Penerangan Daerah Tuaran, Malina Jamarin, Ketua Anak Negeri, KAN Rony Sundang, dan Ketua Kampung Kauluan, KK Lisad Unoh.

Jahid yang juga Wakil Rakyat Tamparuli, berkata, Ramadhan seharusnya diisi dengan amal perbuatan yang akan meningkatkan ganjaran pahala di sisi Tuhan.

“Semoga persaudaraan dan persahabatan yang sedia terjalin di antara kita akan berterusan sampai bila-bila,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Surau As Syakirin Kampung Kauluan, Awang Ali, menghargai usaha pihak penganjur dalam menyalurkan bantuan berbentuk beras dan duit raya kepada komuniti Islam dan golongan asnaf yang dikenal pasti.

Program tersebut merupakan anjuran bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Tamparuli, dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tamparuli.

Antara kawasan yang diziarahi mereka ialah Surau Kampung Tambalugu (25 orang penerima), Surau Darul Fikri Kampung Telibong, (49 orang penerima, Masjid Ubbudiyah Pekan Tamparuli (20 penerima), Masjid Al-Quddus Kampung Kiwoi Tamparuli (30 penerima), Surau Al-Najimah Kampung Botung (16 orang penerima), Surau Kampung Tambulaung (22 orang penerima), dan Dewan Serbaguna Kampung Kauluan (66 orang penerima).