Keputusan Menamakan Ismail Sabri Sebagai Calon PM PRU-15 Cerminkan Solidariti UMNO – Bung | Sabah News

Keputusan Menamakan Ismail Sabri Sebagai Calon PM PRU-15 Cerminkan Solidariti UMNO – Bung | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

KOTA KINABALU: Keputusan yang dicapai dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO kelmarin dengan menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri, memperlihatkan tahap solidariti luar biasa Umno untuk berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, keputusan itu menujukkan kematangan pemimpin Umno yang mengutamakan kesepakatan demi satu matlamat bagi mempastikan Umno dan Barisan Nasional dapat membentuk kerajaan yang stabil untuk kemakmuran negara.

“Umno Sabah menerima baik cadangan ini dan sentiasa memberikan sokongan padu terhadap keputusan parti yang menamakan Ismail sebagai calon Perdana Menteri selepas PRU ke-15,” katanya…

Menurut Bung yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno, solidariti ini mencermin sikap pemimpin Umno yang lebih mengutamakan kepentingan negara dan parti melebihi daripada kepentingan peribadi.

“Keputusan mencalonkan Ismail Sabri sebagai calon sudah tentu dapat mewujudkan elemen kestabilan bukan sahaja kepada imej parti, malah memperkukuhkan perspektif luar kepada masa hadapan politik Malaysia.

Bung berkata Umno berbeza dengan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional yang bercelaru dalam menamakan calon Perdana Menteri mereka selepas PRU ke-15 kerana lebih mengutamakan kepentingan peribadi daripada kepentingan negara.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataan memaklumkan, MKT UMNO sebulat suara mencadangkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri menjelang PRU-15.

Bung menambah, keputusan MKT Umno ini memberikan ruang yang luas kepada Perdana Menteri untuk menyusun dan merangka agenda bagi memenagi hati dan minda rakyat untuk memberikan sokongan kepada Umno dan Barisan Nasional ketika menghadapi PRU ke-15 nanti.

Sehubungan dengan itu, katanya kepimpinan Umno di semua peringkat kini perlu lebih fokus untuk menyusun jentera dan gerak kerja parti bagi memastikan kemenangan.