Harga Tiket Penerbangan Melampau Akan Jejas Industri Pelancongan Sabah – Jafry | Sabah News

Harga Tiket Penerbangan Melampau Akan Jejas Industri Pelancongan Sabah – Jafry | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

KOTA KINABALU: Harga tiket penerbangan dalam negara yang melampau boleh menjejaskan kedatangan lebih 1.3 juta pengunjung yang dijangka bagi tahun ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Sabah, Datuk Jafry Ariffin menggambarkan tiket penerbangan Kota Kinabalu – Tawau berharga RM 1,300 semalam sebagai tidak masuk akal dan melampau.

“Sabah hanya boleh diakses pelancong luar melalui penerbangan tetapi kita juga mendapati rungutan termasuk penduduk negeri ini sendiri berkenaan kenaikan harga tiket yang begitu drastik sehingga mencecah 500 peratus daripada harga asal.

“Kerajaan memandang serius perkara ini dan kita telah meminta Kementerian Pengangkutan untuk berbincang dengan syarikat penerbangan untuk mengurangkan harga yang ditawar.

“Harga tiket penerbangan begitu melabung tinggi sehingga mengakibatkan ramai pelancong tergendala ke destinasi mereka…

“Kita baru terlepas dari Perintah Kawalan Pergerakan dan ekonomi negara yang merumundum. Harga tiket sebegini sudah tentu akan menjejaskan kehadrian pelancong ke negeri Sabah,” katanya.

Setakat Februari tahun ini, rekod Jabatan Imigresen Malaysia menunjukkan hampir 227,000 pengunjung yang masuk ke Sabah.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya sedang berusaha berbincang dengan beberapa syarikat penerbangan antarabangsa bagi mengadakan penerbangan terus ke Sabah.

Jaffry berkata sasaran pelancong daripada Korea dan Taiwan diharap akan lebih diperkukuhkan setelah beliau berjumpa dengan Duta Taiwan pada minggu hadapan manakala pembantunya, Datuk Joniston Bangkuai, akan ke Korea bagi berjumpa beberapa syarikat penerbangan.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong dalam kenyataan hari ini menjelaskan kenaikan harga itu disebabkan peningkatan kos operasi termasuk kenaikan harga bahan api jet serta sumber terhad bagi syarikat penerbangan meningkatkan kapasiti sepenuhnya selain kos penyelenggaraan pesawat.

Beliau berkata mekansima harga itu ditetapkan secara dinamik menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan bukan secara manual seperti didakwa.

“Bagi bulan April 2022, kekerapan penerbangan ke Sabah dan Sarawak masih rendah iaitu hanya pada tahap 68 peratus berbanding tahun 2019 (pra-pandemik)

“Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) ,Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) serta Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bersedia untuk mempertimbang dan meluluskan permohonan syarikat-syarikat penerbangan untuk menambah frekuensi penerbangan, pengoperasian perkhidmatan kawalan trafik udara serta melanjutkan waktu operasi lapangan terbang pada musim perayaan ini dan akan datang. 

“CAAM telahpun meluluskan pelanjutan waktu pengoperasian perkhidmatan kawalan trafik udara di lapangan terbang yang diperlukan. 

“Ini akan membantu syarikat penerbangan dalam perancangan penambahan kapasiti terutamanya menjelang musim perayaan,” katanya.