Tarikh Akhir Pemberian Dos Pertama Vaksin COVID-19 Bagi PICKids Pada 15 Mei | Sabah News

Tarikh Akhir Pemberian Dos Pertama Vaksin COVID-19 Bagi PICKids Pada 15 Mei | Sabah News

Kongsikan Berita Ini





Gambar Hiasan…

PUTRAJAYA – Tarikh akhir pemberian dos pertama vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids) adalah pada 15 Mei depan.

Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (CITF-C) memutuskan tarikh akhir tersebut.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, sehubungan itu mulai 16 Mei, Kementerian Kesihatan (KKM) tidak lagi menawarkan dos satu vaksin COVID-19 jenis Comirnaty dan CoronaVac kepada kanak-kanak yang telah berusia lima hingga bawah 12 tahun.

“Dengan pengumuman ini, ibu bapa kepada kanak-kanak yang belum menerima vaksin Covid-19, perlu membuat keputusan mengenai vaksinasi Covid-19 sebelum 15 Mei…

“Selepas tarikh ini, vaksin kanak-kanak jenis Comirnaty tidak lagi ditawarkan di mana-mana fasiliti kesihatan awam dan swasta di Malaysia.

“Manakala vaksin Coronavac pula hanya boleh diperolehi dengan bayaran di fasiliti swasta,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Bagaimanapun, keputusan ini tidak melibatkan vaksinasi bagi kanak-kanak yang lahir pada tahun 2017 dan belum mencapai usia lima tahun pada 15 Mei.

Katanya, kanak-kanak dalam kategori itu boleh mendapatkan vaksinasi COVID-19 dengan mendaftar dalam aplikasi MySejahtera dan perincian mengenai vaksinasi kumpulan ini akan diperjelaskan dalam masa terdekat.

Tambah beliau, keputusan itu dibuat berikutan trend permintaan vaksinasi ibu bapa serta penjaga terhadap kanak-kanak yang semakin menurun dan KKM telah mengkaji semula tempoh pelaksanaan PICKids.

Ujarnya lagi, permintaan vaksinasi yang rendah boleh menyebabkan pembaziran vaksin yang tinggi dan bagi mengelakkan pembaziran vaksin Comirnaty kanak-kanak yang tidak digunakan dalam tempoh enam bulan selepas dikeluarkan oleh pengilang, penetapan tarikh akhir dos satu perlu dibuat.