Pengarah Syarikat Ditahan Bantu Siasatan Kemuka Laporan Palsu Kepada MAFI | Sabah News

Pengarah Syarikat Ditahan Bantu Siasatan Kemuka Laporan Palsu Kepada MAFI | Sabah News

Kongsikan Berita Ini





Gambar Hiasan…

ALOR SETAR, KEDAH – Seorang pemilik yang juga pengarah sebuah syarikat pertanian ditahan bagi membantu siasatan kes mengemukakan laporan palsu kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi mendapatkan tuntutan berjumlah RM176,800 pada 2020 dan tahun lepas.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) berkata lelaki berusia 32 tahun ditahan di pejabat SPRM Kedah, di sini pada pukul 11.18 pagi semalam (13 April).

SPRM turut menahan ketua pegawai pentadbiran syarikat itu iaitu seorang wanita berusia 30 tahun pada 11 pagi di lokasi sama bagi membantu siasatan kes itu.

“Kedua-dua mereka disyaki mengemukakan laporan yang mengandungi butiran palsu kepada MAFI pada 2020 dan 2021 berkaitan senarai peserta Program Mobiliti Tenaga Kerja di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA)…

“Laporan itu dipercayai tidak menepati syarat-syarat seperti mana perjanjian yang telah ditandatangani. Kedua-duanya disyaki telah memalsukan butiran peserta bagi tujuan tuntutan bernilai RM176,800,” katanya.

Katanya, kedua-dua mereka akan dirakam pernyataan dan dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan menyatakan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

– BERNAMA