Pematuhan SOP Bazar Ramadhan DBKK Memuaskan – Mayor | Sabah News

Pematuhan SOP Bazar Ramadhan DBKK Memuaskan – Mayor | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Noorliza memberikan bubur lambuk kepada seorang petugas DBKK…

KOTA KINABALU, SABAH – Belum ada saman dikeluarkan baik pun aduan yang diterima pada 16 bazar ramadhan di bawah penyeliaan pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip berkata, prosedur operasi standard (SOP) “agak diterima pakai” oleh para penjaja.

“Tiada pelanggaran SOP yang ketara setakat ini. Rata-rata peniaga didapati mematuhi undang-undang selain daripada memakai apron dan sarung tangan,” katanya…

Menurutnya, pegawai DBKK yang meronda masih mengguna pakai kaedah ‘teguran’.

“Antara usaha lain termasuklah penjarakan fizikal satu setengah meter antara gerai, pemakaian pelitup muka dan penyediaan QR Code serta hand sanitizer di pintu masuk lokasi Bazar Ramadan,” katanya.

Noorliza memberikan apron, penghadang cahaya serta kad ucapan kepada seorang penjaja di Bazar Ramadhan Lintasan Deasoka.

Mengulas berkenaan kesesakan pada bazar dan langkah mengelak penularan COVID-19, Noorliza berkata, pengunjung tidak akan dihadkan.

“Keadaan masih terkawal dan jumlah kemasukan orang ramai masih munasabah dengan pengamalan SOP.

“Terdapat 16 bazar DBKK sekitar bandaraya Kota Kinabalu jadi orang awam tidak akan fokus ke satu tempat sahaja,” tambahnya.

Beliau berkata untuk bazar tahun ini juga, DBKK dengan kerjasama Bank Negara memperkenalkan bayaran tanpa tunai di hampir semua lokasi Bazar Ramadan sekitar bandaraya Kota Kinabalu.

“Perkara ini antara syarat-syarat penjaja bazar. Pengunjung dan penjaja adalah digalakkan untuk menggunakan aplikasi ‘e-Wallet’ semasa berurusan jual beli di Bazar Ramadan,” tambahnya.

Noorliza berkata demikian ketika ditemui di bazar Lintasan Deasoka, Jalan Gaya sini, semalam ketika mengagihkan 1200 bubur lambuk tajaan Maggi dan Sazarice yang dimasak oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Cawangan Sabah untuk orang awam.

Dalam pada itu, beliau turut mengambil kesempatan dengan mengagihkan apron serta beramah mesra bersama penjaja. Terdapat 108 gerai di Lintasan Deasoka.