Kontraktor Hilang Suku Juta Ringgit Kepada Macau Scam | Sabah News

Kontraktor Hilang Suku Juta Ringgit Kepada Macau Scam | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Gambar Hiasan…

BEAUFORT, SABAH – Seorang kontraktor wanita di sini hanya menyedari kerugian RM 294,118 wang milkinya ketika cuba membuat pengeluaran dari akaun bank semalam, lima bulan selepas diperdaya taktik Macau Scam.

Mangsa berumur 60 tahun terdahulu pada 12 November tahun lalu menerima panggilan dari seorang individu yang mendakwa dirinya sebagai pegawai insurans.

Ketua Polis Daerah Beaufort, DSP Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata suspek kononnya berkata mangsa ada membuat tuntutan insurans berjumlah RM 75,000 yang mencurigakan.

“Panggilan itu disambungkan kepada seorang lagi individu yang mengaku sebagai pegawai polis dan memberitahu nama mangsa terbabit dalam pengubahan wang haram…

“Mangsa diminta membuka satu akaun bank yang baru kononnya untuk tujuan siasatan untuk membersihkan nama,” katanya kepada wartawan.

Yusoff Zaki berkata, mangsa turut diminta mendaftarkan nombor telefon yang diberikan selain diarahkan supaya memberikan nombor akaun, nombor pin dan kata laluan bank milik mangsa.

Katanya, mangsa turut diberi peringatan supaya tidak mengemaskini akaun milik mangsa serta tidak berhubung dengan orang lain kononnya bagi tujuan supaya tidak menganggu siasatan polis.

“Mangsa terus membuat laporan polis dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.