Seramai 3,281 Calon Tidak Lepasi Tapisan Lantikan Tetap Pegawai Perubatan | Sabah News

Seramai 3,281 Calon Tidak Lepasi Tapisan Lantikan Tetap Pegawai Perubatan | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) memaklumkan, sebanyak 3,281 permohonan didapati tidak melepasi tapisan kerana tiada maklumat pendaftaran penuh dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

SPA dalam kenyataan memberi penjelasan mengenai isu membabitkan status tidak melepasi tapisan SPA, bagi permohonan pelantikan tetap jawatan Pegawai Perubatan Gred UD43/UD41 di Kementerian Kesihatan (KKM).

SPA juga berkata bidang pengkhususan perubatan yang merupakan syarat wajib untuk lantikan tetap.

“Sejumlah 1,587 pula didapati tidak melepasi tapisan bagi syarat khusus ditetapkan KKM, termasuk calon dilantik kontrak di KKM berdasarkan Surat Pekeliling Ketua Setiausaha KKM Bilangan 4 Tahun 2016, dan calon telah menamatkan latihan siswazah di dalam atau di luar negara…

“Calon merupakan lantikan kontrak mulai tahun 2016 hingga 2018 sahaja; calon tidak pernah meletak jawatan, tidak pernah ditamatkan perkhidmatan dan tidak pernah dikenakan tindakan tatatertib sepanjang tempoh kontrak; dan calon tidak pernah menolak tawaran pelantikan tetap,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, SPA memaklumkan antara faktor calon tidak melepasi tapisan adalah maklumat pendaftaran penuh tidak dilengkapkan, atau mengisi pendaftaran sementara dengan MPM dan pemilihan bidang pengkhususan yang tidak tepat, iaitu selain daripada perubatan dan pembedahan / perubatan.

SPA memaklumkan, sejumlah 10,593 permohonan telah diterima menerusi Sistem Pendaftaran Pekerjaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA9) pada 16 Mac lepas.

Mengenai rungutan calon tidak mendapat panduan khusus mengenai permohonan berkenaan, SPA bersetuju mengemukakan senarai nama calon seramai 3,281 yang tidak melepasi tapisan kepada KKM untuk proses tapisan akhir.

“Sekiranya semakan daripada KKM mendapati calon memenuhi semua syarat yang ditetapkan (seperti iklan), status calon akan dikemas kini dalam SPA9 dan seterusnya akan dipanggil temu duga. Calon boleh menyemak status terkini permohonan mulai 22 April 2022 (Jumaat),” menurut kenyataan SPA itu.

Menurut kenyataan itu, suruhanjaya juga bersetuju mengeluarkan pilihan senarai pendaftaran penuh atau sementara dengan MMC, daripada proses permohonan ke jawatan Pegawai Perubatan Gred UD43/41.Selain itu, SPA memaklumkan KKM perlu membuat semakan pengesahan pendaftaran penuh dengan MMC ke atas setiap calon yang akan dikemukakan SPA.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi Unit Perubatan, Bahagian Pengambilan SPA di talian 03-8091 9000/9415 (waktu pejabat) atau e-mel perubatanpg@spa.gov.my.

Pada Sabtu, tular satu hantaran oleh pengguna media sosial, yang membangkitkan isu ketidakpuasan hati calon berstatus tidak melepasi tapisan ditetapkan SPA, dan tiada panduan khusus bagi mengisi permohonan.