PASUKAN KESELAMATAN DAN PETUGAS KESIHATAN PENTING DALAM PELAKSANAAN HALA TUJU SMJ – KM HAJIJI | Sabah News

PASUKAN KESELAMATAN DAN PETUGAS KESIHATAN PENTING DALAM PELAKSANAAN HALA TUJU SMJ – KM HAJIJI | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyampaikan sumbangan kuih muih Hari Raya Aidilfitri kepada Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Rose Nani Mudin sempena Majlis Penyerahan Kuih Muih Hari Raya Aidilfitri kepada Pasukan Keselamatan dan Petugas Kesihatan di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, di sini hari ini. Turut kelihatan isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Hajah Juliah Salag; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong dan isterinya yang juga Pengerusi PUSPANITA negeri Sabah, Datuk Dr Nuinda Alias…

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri dapat melaksanakan pelan pembangunannya dengan lancar khususnya Hala Tuju Sabah Maju Jaya berikutan komitmen daripada pasukan keselamatan dalam menjaga keamanan dan petugas kesihatan dalam memerangi COVID-19.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata pasti pasukan keselamatan dan petugas kesihatan telah memainkan peranan penting untuk membantu negara merealisasikan visinya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang progresif dan Sabah sebuah negeri yang makmur.

“Keamanan yang kita nikmati ketika ini membolehkan negara terus maju ke hadapan…

“Dalam konteks pembukaan semula sempadan negara pada 1 April lalu, keamanan Malaysia adalah penting untuk membantu mendapatkan keyakinan pelabur serta menarik pelancong asing datang ke negara kita,” katanya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong beramah mesra dengan pegawai kanan pasukan keselamatan termasuk Panglima Divisyen Kelima Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Dato’ Mohd Halim Khalid (depan) selepas Majlis Penyerahan Kuih Muih Hari Raya Aidilfitri kepada Pasukan Keselamatan dan Petugas Kesihatan di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, di sini hari ini…

Pada majlis penyampaian kuih muih Hari Raya Aidilfitri kepada pasukan keselamatan dan petugas kesihatan di Dewan Bankuasi di Menara Kinabalu, di sini hari ini, Hajiji berkata kerajaan dan rakyat terhutang budi atas sumbangan dan pengorbanan mereka.

Acara ini diadakan setiap tahun sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada semua anggota pasukan keselamatan.

“Juga tidak dilupakan petugas kesihatan, doktor, jururawat dan paramedik yang telah bekerja tanpa jemu terutama ketika pandemik COVID-19.

“Bagi pihak kerajaan negeri, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas jasa serta pengorbanan semua anggota dalam pasukan keselamatan serta petugas kesihatan,” katanya.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong;
Setiausaha Persekutuan Sabah, Dato’ Sarul Bahiyah Haji Abu; Ketua Pengarah Jabatan
Perkhidmatan Awam Negeri, Datuk Rosmadi Sulai; Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr
Rose Nani Mudin; ketua dan pegawai kanan pasukan keselamatan termasuk Timbalan
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun; Panglima Divisyen Kelima Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Dato’ Mohd Halim Khalid; Pengarah Maritim Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Datuk Mohd Rosli Abdullah.