NAJIB DISYAKI TERLIBAT TRANSAKSI KEWANGAN LUAR ATURAN – BEKAS PENGERUSI 1MDB | Sabah News

NAJIB DISYAKI TERLIBAT TRANSAKSI KEWANGAN LUAR ATURAN – BEKAS PENGERUSI 1MDB | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Datuk Seri Najib Razak…

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Tan Sri Mohd Bakke Salleh memberitahu Mahkamah Tinggi semalam (12 April) bahawa beliau tidak bertemu Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memaklumkan mengenai peletakan jawatannya kerana beliau mengesyaki bekas perdana menteri itu terlibat dalam transaksi kewangan 1MDB yang didakwa luar aturan.

Mohd Bakke, 68, berkata demikian ketika diperiksa balas oleh peguam utama Najib Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan kes Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Arul Kanda Kandasamy kerana didakwa meminda laporan akhir audit 1MDB.

Muhammad Shafee: Tan Sri pada satu ketika, anda berkata anda sakit. Sebenarnya anda mahu meletakkan jawatan daripada lembaga pengarah. Sebelum itu adakah anda berjumpa perdana menteri dan memberitahunya mengapa anda meletak jawatan?

Mohd Bakke: Saya tidak berbuat demikian kerana ada perasaan syak wasangka bahawa perdana menteri turut berada dalam lingkaran dan terlibat dalam skim PetroSaudi International Ltd (PSI). Perasaan yang sama turut dikongsi oleh ahli lembaga pengarah. Salah satu yang mengesahkan kecurigaan kami, yang membuat kami rasa jijik ialah cara wang US$1 bilion dikirimkan.

“Oleh itu saya memutuskan saya tidak mahu melihatnya secara peribadi. Saya tidak selesa,” kata saksi pendakwaan ke-13 itu.

Tan Sri Mohd Bakke Salleh…

Mohd Bakke berkata beliau mengesyaki sedemikian daripada cara perjanjian itu diminta untuk disegerakan walaupun lembaga itu mempunyai keraguan dan red flag mengenai perjanjian itu.

Sebelum ini, saksi memberitahu mahkamah bahawa Najib pada September 2009 memberitahu lembaga pengarah 1MDB untuk meluluskan JV yang akhirnya menyaksikan syarikat itu mengepam US$1 bilion dan mahu ia ditandatangani dalam masa empat hari.

Beliau berkata pengarah syarikat itu telah tergesa-gesa membuat keputusan berikutan panggilan telefon daripada Najib sebelum mesyuarat itu.

Muhammad Shafee: Anda tahu anda selesa untuk bertemu Perdana Menteri (Najib) bila-bila masa. Bukan untuk 1MDB tetapi mengenai Felda; anda bertemu dengannya setiap dua minggu. Anda boleh bertemu beliau dan beritahunya mengenai 1MDB.

Mohd Bakke menjawab, “Ia tidak dilakukan kerana kami sudah mewujudkan JV.”

Muhammad Shafee: Perdana Menteri (Najib) berminat dengan perjanjian PSI kerajaan dengan kerajaan, adakah terdapat sebarang syak wasangka lagi?

Mohd Bakke: Saya faham, tetapi kenapa perlu bekerja secara tergesa-gesa? Itulah ketidakselesaan saya dan lembaga.

Muhammad Shafee: Saya hanya sekadar mahu memahami kenapa anda tidak mahu bertemu perdana menteri? Apakah yang anda curiga dengannya? Tidak perlu sangsi, dia terlibat dalam perjanjian itu. Beliau mahu perjanjian itu dilaksanakan.

Mohd Bakke: Kesangsian saya ialah kenapa perlu segerakan perjanjian dan kedudukan ini untuk melakukannya dengan tergesa-gesa? Apabila anda ditekan untuk melakukan sesuatu terhadap pendekatan profesional, maka lembaga perlu bertanya mengapa kita perlu melakukan ini?

Muhammad Shafee: Anda telah salah faham sepenuhnya. Kenapa menyalahkan PM sedangkan pengurusan berada di bawah anda? Mengapa beliau (Najib) menguruskan mikro? Dia tidak mungkin menguruskan mikro.

Mohd Bakke menjawab: Anda perlu melihat konteks keseluruhan projek (JV). Jika anda melihat pada satu masa, ia adalah khusus. Kami tidak puas hati dengan apa yang berlaku; kesimpulan saya sendiri ialah jika saya tidak menghadiri panggilan telefon perdana menteri, lembaga tidak terburu-buru laksanakan perjanjian itu.

Inilah sebabnya timbul syak wasangka itu. Cara arahan itu diberi. Sekiranya perdana menteri tidak bercakap dengan saya dan meminta Jho Low untuk memberikan telefon kepada saya, kami akan melihat ini sebagai cadangan yang betul dan melakukannya dengan betul.

Jho Low …

Sementara itu, semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram, Mohd Bakke berkata bahawa panggilan telefon Najib telah menyebabkan lembaga itu terburu-buru menyampaikan keputusannya.

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Datuk Seri Najib Tun Razak…

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Arul Kanda Kandasamy…

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung hari ini (13 April).

– BERNAMA