PBS Sulaman Sokong RUU Anti Lompat Parti | Sabah News

PBS Sulaman Sokong RUU Anti Lompat Parti | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Constantine Anthony…

KOTA KINABALU, SABAH – Naib Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) N.12 Sulaman, Constantine Anthony, berkata pihaknya menyokong penuh dasar anti lompat yang bakal dibawah ke Dewan Rakyat pada penghujung bulan Mei agar Rang Undang Undang ini dapat diperluluskan dewan.

Katanya, Sabah telah mengalami keadaan kucar-kacir dan sengsara dalam pentadbiran kerajaan negeri dan lanskap politik negeri sejak tahun 1994 apabila beberapa ahli politik dari PBS, yang telah baru membentuk kerajaan negeri, melompat keluar dari parti dan telah menyebabkan kerajaan yang telah diundi rakyat Sabah tumbang atas kehilangan majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri.

“Wakil Rakyat yang telah disokong oleh parti dan rakyat sepatutnya menjalankan mandat yang telah diberi kepada mereka melalui undi dan tidak sewenang-wenangnya melompat ke parti lain untuk memperolehi jawatan dan pangkat untuk diri mereka sendiri…

“Jika terdapat mana-mana Wakil Rakyat yang masih berfikiran bahawa ia adalah hak mereka untuk keluar dari parti selepas disokong dan diundi oleh parti dan akar-umbi parti, maka Wakil Rakyat tersebut adalah seorang pemimpin yang tidak berintegriti dan tidak boleh dipercayai untuk memegang mana-mana jawatan atau dana untuk pentadbiran rakyat dan kawasan rakyat,” tegasnya.

Dalam sebuah kenyataan, Constantine juga berkata bahawa PBS Sulaman juga mengharap bahawa Dewan Rakyat bukan sahaja meluluskan RUU Anti Lompat ini, tetapi juga memastikan bahawa Wakil Rakyat tidak lagi boleh menggunakan terma lain.

“Ini agar perkataan atau semantik seperti “pindah parti” dan lain-lain sebagai alasan untuk memuaskan nafsu jawatan mereka dengan melompat parti tidak dimanipulasi dan justeru mengkhianati mandat yang telah diberi oleh rakyat mengundi,” tambahnya.