Jamawi Berharap Pembinaan Kompleks Sukan Tenom Mengikut Jadual | Sabah News

Jamawi Berharap Pembinaan Kompleks Sukan Tenom Mengikut Jadual | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Jamawi (tengah) bersama kontrator pelaksana menunjukan isyarat bagus semasa lawatan tersebut…

TENOM, SABAH – Masyarakat daerah ini menzahirkan harapan agar pembinaan Kompleks Sukan daerah Tenom yang kini dalam proses pembinaan dapat disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Pengerusi JJ Footbal Club, Jamawi Jaafar berkata, beliau diberikan jaminan oleh kontraktor pelaksana bahawa kerja-kerja pembinaan kompleks sukan tersebut akan dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh Kementerian Belia dan Sukan.

“Kompleks Sukan yang serba lengkap di daerah ini sudah sekian lama menjadi idaman penduduk di sini terutamanya golongan muda untuk menjalani aktiviti riadah,” katanya selepas meninjau kemajuan kerja-kerja pembinaan kompleks tersebut di sini kemarin.

Jamawi yang juga bekas Ketua Pergerakan Pemuda Umno Tenom berkata, cadangan permohonan tersebut telah diajukan kepada Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Khairi Jamaluddin, semasa merasmikan mesyuarat pergerakan Pemuda Umno bahagian Tenom tahun 2015.

“Alhamdulillah cadangan serta permohonan kita mendapat maklum balas yang positif dari kerajaan Pusat ketika itu yang telah meluluskan permohonan tersebut…

“Kini setelah hampir tujuh tahun menunggu, projek ini akhirnya diluluskan dan kini sedang dilaksanakan,” katanya.

Jamawi menambah apabila kompleks tersebut siap sepenuhnya nanti, ia akan menjadi pusat riadah bagi masyarakat di daerah Tenom.

Katanya pelbagai kegiatan sukan dapat diadakan ditempat yang lebih kondusif antaranya seperti lokasi perlawanan bola sepak bagi pihak sekolah yang menganjurkan kejohanan sukan tahunan.

“Insyallah saya akan sentiasa memantau kemajuan perjalanan projek ini agar kualiti serta kemudajannya dapat dinikmati oleh masyarakat daerah Tenom,” jelas Jamawi.