Sabah Di Antara Negeri Tertinggi Murid Gagal Kuasai 3M | Sabah News

Sabah Di Antara Negeri Tertinggi Murid Gagal Kuasai 3M | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Gambar Hiasan…

KOTA KINABALU, SABAH – Sabah antara negeri tertinggi mengalami masalah murid gagal menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) terutama membabitkan murid Tahun Satu dan Tahun Dua.

Focal Person Kebangsaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Mohammad Arif Sakaran berkata, menurut data Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dua tahun lalu, sebanyak 180 sekolah melibatkan hampir 12,000 murid mengalami masalah tidak menguasai 3M atau literasi dan numerasi di negeri ini.

Menurut beliau, pihaknya bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mengadakan pelbagai program bagi menangani masalah itu supaya tidak berlarutan.

“Itu data yang kita terima dua tahun lalu dan saya risau ketika pandemik Covid-19 ia menjadi lebih tinggi disebabkan kekangan yang dihadapi semasa pandemik.

“Sebab itu kita perlukan sokongan daripada semua pihak. Sebagai orang Sabah, kita tidak mahu negeri kita ketinggalan kerana kanak-kanak ini yang akan memimpin kita di masa depan,” katanya lapor Sinar Harian…

Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya mengenal pasti beberapa faktor menyebabkan masalah literasi dan numerasi di Sabah.

“Antaranya, Sabah negeri yang mempunyai keluasan yang besar berbanding di Kuala Lumpur, Selangor serta negeri lain.

“Daerah kita saja kalau mengikut PPD ada 24 daerah, jadi sebab itu di Sabah ini tinggi dan kebanyakannya hampir majoriti sekolah yang ada di Sabah ialah sekolah luar bandar.

“Selain itu, kita perlu memberi pemahaman kepada ibu bapa kerana mungkin ada ibu bapa yang sibuk, jadi mungkin dari situ bermulanya anak-anak keciciran dan mengalami masalah literasi serta numerasi,” katanya.

Sehubungan itu, Mohammad Arif berkata, pihaknya merancang bersama dengan JPN untuk turun padang bersama-sama menangani masalah literasi dan numerasi ini.

“Sebelum ini saya sudah bersama-sama dalam libat urus bagi menangani masalah ini tetapi disebabkan pandemik banyak kekangan untuk kita meneruskan program tersebut.

“Negara sudah memasuki fasa peralihan endemik, jadi kita boleh mulakan program itu dengan berbincang bersama PPD serta guru-guru besar di seluruh Sabah bagaimana untuk menangani masalah ini.

“Mungkin juga saya akan bawa pakar-pakar dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk dilantik sebagai rakan strategik selain komuniti ibu bapa yang boleh berganding bahu bersama KPM, JPN untuk bersama-sama menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Katanya lagi, perlu ada kumpulan yang besar dan bukan dari satu pihak saja untuk tangani masalah kegagalan murid menguasai 3M itu terutama di negeri ini.