Pengguna Syabu Tetak Bapa Saudara Sampai Mati | Sabah News

Pengguna Syabu Tetak Bapa Saudara Sampai Mati | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

LAHAD DATU, SABAH – Seorang lelaki maut ditetak di kepala menggunakan sabit pemotong kelapa sawit oleh anak saudaranya sendiri di Kampung Tradisi Desa Kencana semalam.

Identiti mangsa ialah seorang warganegara asing, Samak Hassan, berusia 55 tahun yang bekerja di sini tanpa dokumen sah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, SAC Sapii Ahmad berkata pembunuhan 1 petang itu disaksikan oleh seorang wanita yang sedang membasuh pakaian.

“Saksi berkata melihat suspek, seorang lelaki 24 tahun, tiba-tiba datang menetak mangsa dari belakang…

“Saksi yang ketakutan terus melarikan diri dari lokasi kejadian dan satu laporan polis dibuat oleh salah seorang penduduk kampung,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Menurutnya, insiden berlaku selepas suspek ditegur mangsa kerana sering memarahi ibu kandung sendiri.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis menyerbu sebuah rumah di sebuah ladang sawit dan berjaya menahan suspek.

“Turut dirampas pakaian yang digunakan ketika kejadian dan suspek kini ditahan reman untuk membantu siasatan lanjut,” katanya…

Tambah Sapii, suspek turut didapati positif dadah jenis methapetamine melalui saringan air kencing.

Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu mendapati, mangsa meninggal dunia dengan kesan tetakan serta luka di kepala, leher dan badan.

Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu bagi tujuan proses bedah siasat.