Pembinaan Jeti Bernilai RM50,000 Mengambil Kira Pelbagai Faktor Lain | Sabah News

Pembinaan Jeti Bernilai RM50,000 Mengambil Kira Pelbagai Faktor Lain | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

SARAWAK – Pembinaan jeti kayu berharga RM50,000 yang tular di media sosial adalah wajar kerana menggunakan kayu belian yang bermutu tinggi dan mahal.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Miri dalam satu kenyataan, menjelaskan bahawa pembinaan jeti di Kampung Mutap, Bekenu, Miri itu juga mengambil pelbagai fakor lain selain penggunan kayu belian tersebut.

Antaranya ialah keadaan laluan ke Kampung Mutap, logistik dan langkah keselamatan berikutan kawasan itu dipenuhi buaya.

Menurut kenyataan itu lagi, kayu belian yang digunakan pula bernilai RM9,000 semeter, lebih rendah daripada kadar harga pasaran.

“Pembinaan jeti itu pada mulanya dicadangkan mengguna keluli tetapi disebabkan kos yang terlalu tinggi, Ketua Kampung Mutap, Sediah Abdullah menolak cadangan itu dan memilih jeti belian sebagai ganti.

“Dengan bajet RM50,000, JKR Sarawak berjaya mereka bentuk jeti sepanjang 15 meter dengan dua tangga,” ujar kenyataan itu, lapor kosmo!

Terdahulu, foto satu jeti kayu sepanjang 15 meter melalui Projek Siap, Bina Baru Jeti Kampung Mutap, Miri, Sarawak telah tular di media sosial.

Menjadi persoalan ramai apabila struktur jeti yang dibina menggunakan kayu dengan ukuran lebar satu meter dan panjang 15 meter itu memakan kos sebanyak RM50,000.

Melalui Facebook Corporate Communication JKR Sarawak, tempoh mula projek ini adalah pada 7 Mac 2022 dan siap lebih awal daripada jadual iaitu pada 1 April 2022.

Jeti ini dibina untuk menggantikan jeti lama yang telah rosak dan tidak dapat digunakan lagi.