Nilai Integriti KPMKR Terus Diteliti – Shahelmey | Sabah News

Nilai Integriti KPMKR Terus Diteliti – Shahelmey | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Shahelmey menyerahkan buku Pelan Antirasuah KPMKR (Semakan Semula) 2022-2026 kepada Syamsul Osman; Ketua Siasatan Negeri Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Negeri Sabah (dua dari kiri) sambil disaksikan oleh Pembantu Menteri KPMKR; Datuk Julita Majungki (dua dari kanan) dan Setiausaha Tetap KPMKR; Datuk Sr. Lee Chun Khiong (kiri sekali)…

KOTA KINABALU, SABAH – Pembudayaan nilai integriti di kalangan warga Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) terus diteliti bagi meningkatkan kualiti perkhidmatannya.

Menterinya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata pembudayaan ini memerlukan komitmen dari semua jabatan dan agensi dibawahnya.

“Kementerian telah menyemak semula Buku Pelan Antirasuah KPMKR selari dengan Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 dengan menstrukturkan semula bidang keutamaan dan memasukkan inisiatif-inisiatif baharu bagi meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan.

Shahelmey menyerahkan buku Pelan Antirasuah KPMKR (Semakan Semula) 2022-2026 kepada Haslina Ismail; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (dua dari kiri) sambil disaksikan oleh Pembantu Menteri KPMKR; Datuk Julita Majungki (dua dari kanan) dan Setiausaha Tetap KPMKR; Datuk Sr. Lee Chun Khiong (kiri sekali)…

“Beberapa pengisian program telah dirancang bertujuan memberikan pendedahan dan pengetahuan mengenai integriti kepada seluruh warga kerja Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat…

“Komitmen jabatan dan agensi serta seluruh warga KPMKR sangatlah diharapkan agar program-program dapat dilaksanakan dengan berkesan serta mencapai sasaran kementerian untuk menyebarluaskan program integriti kepada semua kumpulan sasar” katanya.

Shahelmey berkata demikian ketika merasmikan Minggu Integriti Peringkat Kementerian bagi Tahun 2022 dan Pelancaran Buku Pelan Antirasuah (Semakan Semula) 2022-2026 di pejabatnya hari ini.

Shahelmey juga berkata, beliau percaya langkah menyemak semula Pelan Antirasuah KPMKR itu akan membawa keberkesanan kepada usaha perancangan, pelaksanaan dan pemantauan nilai integriti di Kementerian tersebut.

“Saya percaya dengan inisiatif melaksanakan penilaian dan semakan semula terhadap risiko-risiko rasuah yang tersenarai, maka perancangan, pelaksanaan, serta pemantauan akan lebih berkesan, berintegriti serta bebas rasuah.

“Saya menyeru kepada semua warga KPMKR, jabatan dan agensi agar bersama-sama berganding bahu bekerja sebagai satu pasukan untuk merakyatkan perkhidmatan” ujarnya.