Muhyiddin Bimbang Pindaan Perkara 10 Perlembagaan Boleh Sekat Hak Wakil Rakyat Bersuara | Sabah News

Muhyiddin Bimbang Pindaan Perkara 10 Perlembagaan Boleh Sekat Hak Wakil Rakyat Bersuara | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin…

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) bimbang pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan boleh disalah guna untuk menafikan hak dan kebebasan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Katanya, pindaan tersebut merangkumi maksud yang terlalu luas dan terdapat kerisauan di mana ianya akan menyekat hak Ahli Parlimen dan ADUN menyatakan kebenaran dan mengambil pendirian dalam hal yang menyentuh kepentingan rakyat dan negara.

“Hari ini Dewan yang mulia ini akan meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan sebuah Akta Parlimen digubal bagi mengenakan sekatan ke atas hak kebebasan berpersatuan berkaitan dengan keanggotaan parti Ahli Parlimen dan ADUN.

“Pindaan ini tentunya akan memberikan kesan yang amat besar terhadap hak kebebasan berpersatuan bagi rakyat di negara ini yang selama ini dipertahan dan dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan…

“Sekatan ke atas hak kebebasan asasi ini hanya boleh dibuat oleh sebuah Akta Parlimen atas sebab keselamatan negara, ketenteraman awam dan moral.

“Tidak ada alasan lain boleh digunakan untuk menyekat hak kebebasan wakil rakyat, sama ada menubuhkan parti politik, menyertai parti politik, meninggalkan parti politik atau tidak menyertai mana-mana parti politik,” katanya membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan Persekutuan, di Dewan Rakyat, hari ini, lapor Berita Harian.

Muhyiddin berkata, maksud pindaan kepada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan perlu jelas, iaitu sekatan hanya ke atas Ahli Parlimen yang menjadi ahli parti politik meninggalkan partinya dan menyertai parti lain.

“Pindaan ini tidak boleh merangkumi perkara lain yang boleh dikira menyekat kebebasan berpersatuan Ahli Parlimen dan ADUN yang dibenarkan Perlembagaan dan undang-undang,” katanya…

Muhyiddin berkata, Ahli Parlimen memikul tanggungjawab besar untuk sentiasa melindungi hak kebebasan asasi rakyat, selain hak kebebasan semua sebagai wakil rakyat.

“Justeru, pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan ini bukan kecil. Ia bukan berkaitan dengan kepentingan politik atau mana-mana parti semata-mata, tetapi berkait dengan soal keadilan dan kebebasan yang mesti dibela dan dipertahankan,” katanya.

Muhyiddin berkata, dalam siri libat urus mengenai RUU itu, beliau meminta kerajaan mengkaji semula definisi lompat parti kerana tidak bersetuju jika seorang Ahli Parlimen yang dipecat dari partinya atau meninggalkan partinya atas apa jua sebab dikira sebagai lompat parti dan perlu mengosongkan kerusinya serta-merta.

“Ada banyak sebab seorang ahli Parlimen dipecat atau meninggalkan parti. Ada yang dipecat kerana melanggar disiplin parti, atau kerana ‘cross the floor’, atau menyatakan sesuatu yang hak tetapi tidak disenangi pemimpin parti lalu dipecat, atau partinya lari dari landasan prinsip perjuangannya yang sebenar serta memudaratkan rakyat dan negara.

“Keempat-empat situasi ini berbeza. Kalau undang-undang Antilompat Parti terpakai dalam semua keadaan tanpa pengecualian, maka undang-undang yang diperkenalkan ini zalim.

“Pengecualian dan perlindungan tertentu mestilah diberikan kepada mana-mana Ahli Parlimen yang akan terkesan dengan undang-undang ini,” katanya.

Beliau mencadangkan ‘ouster clause’ dalam Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 dikaji semula untuk memberi ruang kepada Ahli Parlimen yang terkesan dengan undang-undang Antilompat Parti mendapat keadilan di mahkamah sebelum dikehendaki mengosongkan kerusi.

“Saya berharap mana-mana kerajaan yang memerintah pada masa akan datang tidak sewenang-wenangnya menggunakan undang-undang Antilompat Parti yang boleh dipinda dengan sokongan majoriti mudah bagi mendiskriminasi mana-mana Ahli Parlimen,” katanya.