Kes Harian COVID-19 Catat Paras Bawah 100 Hasil Daripada Disiplin Tinggi Rakyat Sabah | Sabah News

Kes Harian COVID-19 Catat Paras Bawah 100 Hasil Daripada Disiplin Tinggi Rakyat Sabah | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

KOTA KINABALU, SABAH – Jumlah jangkitan baharu di Sabah hari ini jatuh di bawah paras 100, iaitu 65 KES iaitu penurunan sebanyak 59 kes berbanding semalam.

Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata jumlah ini merupakan angka yang terendah sejak 18 Mei tahun lalu.

“Terdapat dua faktor yang menyumbang kepada jumlah jangkitan harian yang rendah di Sabah hari ini…

“PERTAMA, penurunan kes baharu dalam jumlah yang agak besar di beberapa daerah dan KEDUA, kenaikan kecil atau marginal di daerah-daerah yang merekodkan pertambahan kes baharu,” katanya dalam rumusan kes harian.

Antara daerah yang merekodkan penurunan kes baharu yang agak besar ialah Kota Kinabalu (-17), Penampang (-12), Putatan (-8), Beaufort (-8) dan Tuaran (-6).

Masidi berkata, walaupun SEMBILAN (9) daerah mencatatkan pertambahan kes baharu tetapi 6 daripadanya hanya merekodkan pertambahan satu (1) kes.

Tidak ada kes jangkitan baharu di 10 daerah.

“Sebagai satu peringatan, walaupun kes harian di Sabah telah menurun dengan banyak tetapi peratusan jangkitan sporadik kekal tinggi pada 55 peratus,” tegasnya.

Hanya terdapat masing-masing dua orang pesakit baharu dalam Kategori 3, Kategori 4 dan Kategori 5.

Dalam pada itu, bagi pihak Kerajaan Negeri dan semua agensi Kerajaan yang terlibat dalam pengurusan pandemik COVID-19 di Sabah, Masidi merakamkan ucapan terima kasih kepada rakyat negeri ini.

Katanya lagi, rakyat Sabah telah mempamerkan disiplin tinggi dalam mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang berkuatkuasa.

“Sikap ini sudah pasti membantu Kerajaan mengurus penularan dengan lebih berkesan…

“Lebih daripada itu, saya merakamkan jutaan terima kasih serta sanjungan budi kepada semua ‘frontliners’ (pekerja barisan hadapan) kita yang bekerja siang dan malam bagi menjamin keselamatan kesihatan untuk semua penduduk negeri ini. Terima kasih.,” beliau berkata.

Berikut merupakan pecahan kes mengikut daerah di mana angka dalam kurungan adalah jumlah kes kelmarin.

Kota Kinabalu 16 (33)
Papar 9 (11)
Tuaran 8 (14)
Penampang 6 (18)
Sandakan 4 (3)
Kudat 4 (3)
Pitas 3 (1)
Kota Belud 3 (3)
Tambunan 2 (1)
Kuala Penyu 2 (5)
Tenom 2 (5)
Semporna 1 (0)
Lahad Datu 1 (1)
Kunak 1 (0)
Sipitang 1 (4)
Tawau 1 (1)
Kalabakan 1 (0)
Beluran 0 (0)
Telupid 0 (0)
Ranau 0 (2)
Kinabatangan 0 (1)
Kota Marudu 0 (1)
Nabawan 0 (0)
Keningau 0 (1)
Beaufort 0 (8)
Tongod 0 (0)
Putatan 0 (8)