Pemilik Lot Kg Rukutan Tidak Puas Hati Diceroboh, Permohonan Sijil Diendah Sejak 2015 | Sabah News

Pemilik Lot Kg Rukutan Tidak Puas Hati Diceroboh, Permohonan Sijil Diendah Sejak 2015 | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Penduduk Kg Rukutan, Manggatal yang membantah pencerobohan tanah mereka serta mendakwa diabaikan pihak berkuasa…

KOTA KINABALU, SABAH – Kira-kira 60 ketua isi rumah (KIR) di Kg. Rukutan, Manggatal, sini, mahukan tapak berkeluasan empat ekar itu diwartakan sebagai perkampungan yang sah setelah “dicerobohi” oleh penghuni baru.

Osman Marajin, selaku ketua kampung berkata hal itu berlarutan sejak tahun 2019.

Katanya, beliau merupakan antara pemohon 60 lot pertama Kg Rukutan yang tidak berpuas hati selepas mengetahui baru-baru ini bahawa sijil perkampungan Kg. Tebobon Baru pada tapak yang bersebelahan bakal dikeluarkan.

Walhal, menurutnya, mereka telah memohon dari jabatan dan agensi kerajaan yang sepatutnya sejak 2015 namun tidak diendahkan.

“Kami telah memenuhi semua prosedur dan mematuhi peraturan dan undang-undang sedia ada berhubung pembinaan dan pewartaan Kg Rukutan sehingga pengagihan 60 lot kepada pemohon yang terbabit dalam proses mewujudkan kampung.

“Satu-satunya perkara yang masih tertangguh adalah untuk kami mendapatkan kelulusan daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk membina rumah di atas 60 lot itu.

“Malangnya, satu-satunya maklum balas yang kami dapat daripada pegawai-pegawai DBKK ialah bahawa permohonan kami masih diproses…

“Namun kini pihak kami dapati kewujudan sebuah perkampungan baru yang hampir mendapat sijil pengiktirafan Tanah Rezab,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Beliau menggambarkan kumpulan itu sebagai penceroboh di atas tanah yang dibeli mereka yang datang tanpa menunjukkan sebarang dokumen atau surat kelulusan daripada mana-mana pihak berkuasa.

Osman turut mendakwa kumpulan dengan kira-kira 20 KIR itu sebelum membina struktur-struktur mereka pada awal bulan ini telah merosakkan dan mencuri sebahagian struktur seperti pondok kayu dan pagar, antara lain.

“Kami meminta kepada pihak Kerajaan untuk menyelasaikan kemuskyilan penduduk di kedua-dua buah Kampung ini dengan secara tulus, ikhlas dan adil,” tambahnya…

Pertubuhan Angkatan Gabungan Rakyat Sabah (AGARAS), yang membantu menyuarakan masalah itu menggesa pihak berwajib khususnya Jabatan Tanah dan Ukur untuk memulakan siasatan.

Presidennya, Michael Frederick berharap sisatan dapat dimulakan dengan segera.

“Saya juga memohon pihak kerajaan untuk mempertimbangkan dimana tiada pihak-pihak pemimpin parti (politik) mencampur tangan dalam proses kelulusan bagi mana-mana permohonan tanah khususnya tanah-tanah perkampungan.

“Biarlah kita serahkan kepada pihak Jabatan Tanah untuk menjalankan tugas mereka,” katanya.

Beliau berkata ini kerana pemimpin lantikan parti ini sentiasa bertukar ganti dan ini akan membantutkan mana-mana proses tanah sekiranya adanya campur tangan mereka kerana “masing-masing mahu menjaga pengikut-pengikutnya”.

“Ini akan mengendalakan pemohon awal yang pada dasarnya telah memohon mengikut prosidur yang sedia ada,” jelasnya.

Katanya lagi, sebuah laporan polis telah dibuat bagi menyiasat dokumen-dokumen yang meragukan bagi proses mengeluarkan Sijil Tanah Rezab Kampung Kg Tebobon Baru.

“Surat bantahan ketua kampung bagi membatalkan sijil tersebut juga dihantar ke Pejabat Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah, Penolong Pemungut Hasil Tanah Kota Kinabalu, Pejabat Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah Negeri Sabah,” tambahnya.