Keaslian Belacan Papar Terpelihara | Sabah News

Keaslian Belacan Papar Terpelihara | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Zaharudin memberikan penerangan mengenai kaedah pemprosesan belacan…

KOTA KINABALU, SABAH – Belacan Papar terkenal dengan keaslian dan keenakannya tanpa dicampur dengan perisa tiruan atau bahan pengawet.

Ramuan itu diperbuat daripada udang geragau atau lebih dikenali sebagai ‘bubuk’ yang merupakan sejenis udang halus berwarna keputihan dan bersaiz kecil sekitar satu hingga tiga sentimeter.

Proses pembuatan belacan di daerah Papar sebelum ini menggunakan kemahiran dan teknologi tradisional yang menyebabkan belacan tersebut terdedah kepada gangguan luar seperti haiwan dan habuk.

Lanjutan daripada itu, Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) diberikan mandat untuk membangunkan satu bentuk inovasi melalui ‘Scale-Up Project’ di Kampung Laut.

Penduduk kampung mencuba kaedah membuat belacan dengan lebih efisien…

Pensyarah Kejuruteraan Mekanik USM, Prof Madya Dr Khairudin Mohamed dan Prof Madya Dr Zahurin Samad merupakan individu penting yang membangunkan inovasi proses dalam proses pembuatan belacan Papar.

Tiga inovasi kepada pemprosesan termasuk mesin pembentuk dan pemotong belacan, yang digunakan untuk membentuk dan memotong belacan dengan lebih sistematik;

Keluli tahan karat dan troli boleh cabut untuk dulang pengendalian yang digunakan untuk mengeringkan belacan dengan lebih bersih dan efisien;

Serta rumah pemprosesan, yang mampu mempercepatkan proses pengeringan belacan dengan memastikan ia dikeringkan dalam kawasan yang bersih dan terkawal.

Menurut Zahurin, inovasi yang telah dibangunkan tersebut dipercayai dapat membantu meningkatkan produktiviti pengeluaran belacan.

“Dengan adanya mesin pembentuk dan pemotong belacan, proses pembentukan belacan menjadi lebih sistematik dan seragam berbanding kaedah konvensional yang digunakan sebelumnya…

“Malah ia juga dapat mempercepatkan proses membentuk dan memotong belacan kerana mesin tersebut mampu menampung kapasiti sebanyak 60 hingga 90 kilogram belacan dalam masa satu jam.

“Bukan itu sahaja, proses pengeringan belacan juga lebih efektif dengan penggunaan keluli tahan karat dan troli boleh cabut untuk dulang pengendalian kerana lebih bersih dan terkawal,” jelasnya.

Tambah beliau, penerapan inovasi dalam pemprosesan belacan Papar sememangnya memberikan manfaat kepada pengusaha dan pada masa yang sama, keaslian belacan itu juga dapat dikekalkan.