BN Kekal Dengan Pendirian Agar RUU Anti Lompat Parti Dilaksanakan Segera | Sabah News

BN Kekal Dengan Pendirian Agar RUU Anti Lompat Parti Dilaksanakan Segera | Sabah News

Kongsikan Berita Ini





Pengarah Komunikasi BN, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah…

SHAH ALAM, SELANGOR – Rang Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti harus dilaksanakan segera tegas Barisan Nasional (BN).

Pengarah Komunikasi BN, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, BN mengulangi pendiriannya agar RUU tersebut dilaksanakan bagi mempertahankan hak rakyat.

“Pendirian UMNO jelas. RUU Anti Lompat Parti mesti disegerakan kerana UMNO mahu pertahankan hak rakyat.

“Justeru apabila rakyat memilih wakil mereka melalui pilihan raya, wakil yang dipilih dan menang mesti memegang amanah rakyat dan parti.

“Mereka tidak boleh bertindak melompat parti sesuka hati kerana rakyat dan parti yang menyebabkan mereka menang dalam pilihan raya,” kata Shamsul yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Jelas beliau, sekiranya terdapat wakil rakyat yang ‘lompat’, rakyat dan parti berhak menghukum mereka.

“Mandat mesti diserahkan kembali kepada parti dan rakyat.

“Kerana rakyat dan partilah yang menyebabkan mereka boleh bergelar wakil rakyat. Justeru jangan bertangguh berkaitan RUU Anti Lompat Parti,” katanya, lapor Sinar Harian.