ATB Gagalkan Aktiviti Penyeludupan Rokok Di Tawau, Rampasan Lebih Setengah Juta Ringgit | Sabah News

ATB Gagalkan Aktiviti Penyeludupan Rokok Di Tawau, Rampasan Lebih Setengah Juta Ringgit | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Timbunan rampasan rokok tidak bercukai di luar IPD Tawau. – Foto ihsan ATB 2, Angkatan Tentera Malaysia…

TAWAU, SABAH – Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) telah berjaya mematahkan cubaan sindiket menyeludup masuk 3,420 karton rokok tidak bercukai menerusi rondaan Op BENTENG BERSAMA pada Khamis.

Kejayaan itu adalah hasil tindakan pantas Tim Quick Reaction Force (QRF) yang telah membuat tinjauan dan pengesanan terhadap dua buah van jenis Toyata Hiace berwarna putih yang berada dalam keadaan mencurigakan di Kampung Sri Aman lebih kurang jam 9 malam.

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata tim QRF telah bertindak mendekati dan melaksanakan pemeriksaan awal terhadap kedua-dua buah van tersebut.

Kenderaan van Toyota Hiace yang digunakan untuk menyeludup rokok tersebut…

“Mereka mendapati, kenderaan tersebut digunakan bagi tujuan membawa rokok seludup dari Indonesia ke Tawau serta telah ditinggalkan setelah menyedari kehadiran Tim QRF…

“MK ATB 2 percaya kegiatan ini turut melibatkan sindiket warga tempatan dan warga asing bagi tujuan perniagaan rokok seludup di pasaran gelap sekitar Tawau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kedua-dua kenderaan termasuk kesemua Rampasan Barang Tanpa Tuan (RBTT) ke IPD Tawau pada jam 3 pagi untuk tindakan lanjut.

“Hasil pemeriksaan mendapati nilai rampasan bagi 3,420 karton rokok seludup adalah dianggarkan bernilai RM 410,200 manakala dua buah van jenis Toyata Hiace dianggarkan bernilai RM 216,000.

“Nilai keseluruhan rampasan adalah bernilai RM 626,200.00,” tambahnya.