Lebih 50,000 Kanak-Kanak Telah Lengkap Dos Vaksin COVID-19 | Sabah News

Lebih 50,000 Kanak-Kanak Telah Lengkap Dos Vaksin COVID-19 | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Gambar sekadar hiasan…

KUALA LUMPUR – Laman web CovidNow melaporkan sebanyak 58,780 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Malaysia telah melengkapkan dos suntikan vaksin COVID-19, setakat semalam.

Pemberian vaksin tersebut adalah menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).

Sementara itu, 1,354,514 kanak-kanak dalam kumpulan sama atau 38.2 peratus daripada populasi itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, sejumlah 2,856,360 individu atau 91.8 peratus telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,956,063 atau 95 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Dalam pada itu, seramai 15,899,713 individu dewasa atau 67.6 peratus telah menerima suntikan dos penggalak, 22,955,772 atau 97.6 peratus pula selesai menerima dua dos manakala 23,232,836 atau 98.8 peratus mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

Sebanyak 29,734 dos vaksin diberikan pada Khamis merangkumi 15,374 dos kedua, 10,639 dos penggalak dan 3,721 dos pertama, menjadikan jumlah kumulatif dos diberikan di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kepada 69,101,615.