INNO4C Bantu Tingkat Pengeluaran Lada Sabah | Sabah News

INNO4C Bantu Tingkat Pengeluaran Lada Sabah | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Pensyarah Kejuruteraan Mekanik, Prof Madya Dr Khairudin Mohamed memberikan penerangan kepada penduduk kampung berkaitan peningkatan kualiti tanaman lada…

KOTA KINABALU, SABAH – Lada telah berkembang daripada hanya sekadar tanaman biasa bagi penggunaan tempatan kepada menjadi salah satu daripada penyumbang utama terhadap Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) di bawah industri pertanian.

Bertitik tolak daripada hal itu, Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) membangunkan inovasi di bawah program Innovation for Community (INNO4C).

Menurut Pensyarah Kejuruteraan Mekanik, Prof Madya Dr Khairudin Mohamed, inovasi yang dijalankan diramal akan meningkatkan hasil pengeluaran, kebersihan pemprosesan dan menjamin kualiti lada serta boleh dipasarkan pada harga yang lebih berdaya saing.

Terdapat lima (5) inovasi yang sedang dibangunkan, antaranya ialah, Mesin Pelerai Tangkai yang berupaya melerai dan mengasingkan biji lada dari tangkai…

Penduduk Kampung Puhus, Tamparuli, ‘membuka kotak’ perlatan baharu yang diterima…

Kapasiti mesin ini mampu memproses 10 kilogram biji lada dalam masa dua minit.

Mesin Pengeretan Berenzim, mesin ini dapat menyahkan kulit lada menggunakan “enzim pectinase” pada suhu 37˚c selama 24 jam.

Mesin ini juga berupaya memproses nyah kulit sebanyak 15 kilogram lada putih dalam masa 24 jam.

Keluli Tahan Karat dan Troli Boleh Cabut untuk Dulang Pengendalian digunakan untuk mengeringkan lada dengan cara yang lebih efisien.

Rumah Pemprosesan, mempercepatkan proses pengeringan lada dengan memastikan ia dikeringkan dalam kawasan yang bersih dan terkawal.

Mesin Penapis dan Penuangan, yang mampu menapis lada dalam proses pembungkusan supaya tahap kebersihan dan kualiti terjamin.

Khairudin berkata, mesin-mesin inovasi yang dibangunkan sedia untuk digunakan setelah beberapa ujian dijalankan terhadap mesin berkenaan.

“Tumpuan projek ini adalah untuk meningkatkan pengeluaran dan kualiti lada melalui penggunaan teknologi moden yang mempercepatkan proses rendaman dan pengeringan dari 14 hingga 20 hari kepada 7 hingga 10 hari,” tambahnya.

Setakat hari ini, para pengusaha telah mula menggunakan Keluli Tahan Karat dan Troli Boleh Cabut untuk Dulang Pengendalian bagi proses pengeringan lada dan memberikan maklum balas positif daripada penggunaan tersebut.

Menurut ketua peserta, Pepper Scale-Up Project di Kampung Puhus, Tamparuli, Zita Bolingkang,

Inovasi berkenaan berbaloi untuk digunakan kerana proses pengeringan lada mengambil masa yang lebih singkat.

“Penggunaan tray itu telah memudahkan pengusaha dalam urusan pengeringan dan masa yang diambil untuk proses tersebut lebih rendah berbanding sebelumnya…

“Teknologi dan inovasi baru yang diperkenalkan oleh USM melalui Pepper Scale-Up Project, berjaya melonjakkan ekonomi komuniti setempat dari aspek sosioekonomi, peluang pekerjaan dan kelestarian alam sekitar,” jelasnya.

Aspirasi USM adalah untuk menyumbang kepada komuniti melalui pengeluaran dan peningkatan kualiti penghasilan lada sebagai penyumbang utama dalam merancakkan ekonomi negara selaras dengan hasrat USM memperkasakan usahawan daripada kumpulan B40.