Polis Tangkap Dua Suspek Kes Samun, Curi Motor | Sabah News

Polis Tangkap Dua Suspek Kes Samun, Curi Motor | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Foto Ihsan IPD Tawau…

TAWAU, SABAH – Dua lelaki warga asing disyaki suspek kes samun yang melarikan sebuah motosikal di lot kedai Taman Semarak sini pada Isnin lalu berjaya ditahan semalam.

Kedua-dua suspek ditahan dalam satu serbuan yang dilakukan oleh sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan Balai Polis Bombalai di kawasan Ladang Imam Bombalai.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner, Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada jam 1.24 pagi Selasa.

Mangsa, seorang lelaki tempatan, pada awalnya berjumpa dengan kedua-dua suspek kerana mahu menghantar tempahan makanan kira-kira jam 11.30 malam.

“Bagaimanapun, sebaik tiba, suspek bertindak mengarahkan mangsa turun daripada motorsikal dan membuat ancaman sebelum kedua-duanya melarikan motorsikal milik mangsa.

“Mangsa kemudiannya segera membuat laporan polis di IPD Tawau,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Menurutnya, susulan laporan yang dibuat mangsa, sepasukan polis bertindak menjalankan siasatan dan mengesan kedua-dua suspek.

“Hasil siasatan, kedua-dua suspek yang berumur 33 dan 37 itu berjaya diberkas di sekitar ladang berkenaan…

“Manakala, sebuah motorsikal disyaki barang kes yang ditemukan di kawasan tersebut turut dirampas,” katanya.

Kedua-dua suspek dan barang rampasan telah dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.