Guna Duit Palsu Bagi Mendapatkan Baki Tulen, Dua Lelaki Ditahan | Sabah News

Guna Duit Palsu Bagi Mendapatkan Baki Tulen, Dua Lelaki Ditahan | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Gambar Hiasan…

TAWAU, SABAH – Polis menahan dua lelaki yang menggunakan not wang RM 100 palsu bagi mendapatkan baki tulen di sebuah premis runcit sini semalam.

Tindakan itu mengakibatkan sebuah kereta dan telefon bimbit milik seorang suspek dirampas bagi tujuan siasatan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kedua-dua suspek tempatan berusia lingkungan 20 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan.

“Turut dirampas ialah sekeping not RM 100 yang dipercayai palsu,” katanya dalam sebuah kenyataan…

Beliau menasihati orang ramai mengenali ciri-ciri keselamatan yang ada pada wang tulen.

“Antaranya cetakan timbul, potret tanda bayang, tanda pandang telus pada angka 100, benang keselamatan kanta makro, petak kilat berwarna dan benang serat keselamatan,” katanya.

Jasmin berkata penjenayah yang menggunakan wang palsu ini akan mengunjungi premis pada waktu sibuk dengan harapan terlepas pandangan juruwang.

“Taktik yang mereka gunakan adalah membayar barangan menggunakan wang kertas tulen diselitkan bersama dengan wang palsu.

“Berdasarkan kepada aduan awam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau mempergiatkan pemantauan penggunaan wang palsu di sekitar bandar ini,” tambahnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.