Elak Bawa Kanak-Kanak Ke Bazar Ramadhan – Shahelmey | Sabah News

Elak Bawa Kanak-Kanak Ke Bazar Ramadhan – Shahelmey | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Shahelmy menyampaikan cendera kenangan kepada pengurus Adabi Sabah, Mohd Zahari Muhd Nasir…

KOTA KINABALU: Pembukaan semula bazar Ramadhan selepas dua tahun membawa kegembiraan kepada rakyat Sabah tetapi ia bukan bererti negeri ini sudah bebas dari cengkaman COVID-19.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya, mengingatkan masyarakat bahawa negara hanya berada di fasa peralihan ke arah endemik.

“Kita sebenarnya belum berada dalam fasa endemi dan ancaman COVID-19 masih wujud jadi kita tidak boleh leka…

“Kita dapat melihat kalangan masyarakat yang mengunjungi bazar Ramadhan, pusat membeli belah atau tempat berbuka puasa sudah mula mengambil ringan prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Dengan itu beliau menasihati ibu bapa untuk mengelak membawa anak-anak mereka yang belum divaksin dari mengunjungi kawasan-kawasan sesak seperti yang disebut.

Katanya, kesedaran ibu bapa di Sabah untuk membawa anak-anak mereka mengambil suntikan vaksin masih rendah.

“Mereka masih mengamalkan sikap tunggu dan lihat selain mengambil suntikan vaksin itu sebagai sesuatu yang sambil lewa,” tambahnya.

Namun demikian, menurut Shahelmey, belum ada kes kematian kanak-kanak di Sabah disebabkan virus itu.

“Baru-baru ini saya telah melawat SJK (C) Hwa Shiong dan mempelajari bahawa hanya kurang daripada 50 peratus murid-murid telah divaksin.

“Ini disebabkan oleh ibu bapa sendiri yang tidak membenarkan anak-anak mereka divaksin. Tetapi ianya sesuatu yang tidak boleh dipaksa,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa individu yang belum, untuk mengambil dos penggalak mereka kerana katanya sudah terbukti dalam makmal bahawa keberkesanan dua dos utama akan berkurangan selepas suatu tempoh tertentu.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan program Ukhwah Ramadhan 2022 anjuran Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) dan NGO naungan bersama Sabah Women Wise Entrepreneurs (SWISE) dan Adabi.

Program tersebut menyasarkan pengagihan 1200 pek bubur lambuk kepada masjid dan dan tahfiz sekitar bandaraya selain jabatan dibawah Kementerian.