Hargai Jasa, Pengorbanan Guru – Dr. Mistirine | Sabah News

Hargai Jasa, Pengorbanan Guru – Dr. Mistirine | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Mistirine ketika berucap dalam majlis Terima Kasih Cikgu…

RANAU, SABAH – Persatuan Alumni Sekolah Kebangsaan Perancangan Ranau telah menganjurkan majlis “Terima Kasih Cikgu” yang diadakan di Mount Kinabalu Heritage & Spa, di sini.

Majlis dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Datuk Dr. Mistirine Radin.

Dalam ucapannya, beliau mengucapkan penghargaan dan terima kasih di atas dedikasi bekas-bekas guru yang menyampaikan ilmu pendidikan kepada murid dan menyantuni masyarakat sepanjang perkhidmatan.

“Majlis ini dapat mengeratkan silaturrahim dan ikatan mesra di antara bekas pelajar dan guru,” katanya…

Mistirine berkata, ini juga merupakan salah satu program sempena Sambutan Hari Guru Pada Tahun 2022 ini.

Beliau menyifatkan guru pada zaman dahulu bukan sahaja mengajar ilmu pengetahuan tetapi juga menjadi pemimpin masyarakat serta pakar rujuk dalam pelbagai urusan harian masyarakat.

Mistirine menyeru semua pihak agar menghargai jasa guru yang mendidik tanpa mengira penat lelah sepanjang perkhidmatan.

Mistirine turut menyampaikan hadiah berupa sebuah jam kesihatan kepada pesara guru sebagai tanda penghargaan dan terima kasih di atas jasa bakti kepada masyarakat dan institusi pendidikan.

Turut hadir ialah, Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr. Jamili Nais; Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, Majus Munsing; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Ranau (Penyelaras Program), Foo Lee Yen; pegawai dari JPN Sabah, Chew Mei Nah dan ahli-ahli Persatuan Alumni Sekolah Kebangsaan Perancangan Ranau.

Majlis dimeriahkan dengan persembahan nyanyian lagu-lagu lama oleh penggiat seni Pejabat Pendidikan Ranau, Adam Makinda.