Jabatan Air Perlu Segera Tangani Isu Air Di Sipitang: Sani | Sabah News

Jabatan Air Perlu Segera Tangani Isu Air Di Sipitang: Sani | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Sani (kiri) semasa meninjau lokasi paip yang pecah dipercayai akibat kerja-kerja pembinaan lebuh raya Pan Borneo di Jalan Pantai Sipitang…

SIPITANG, SABAH – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sipitang hari ini menggesa Jabatan Air Sabah (JAS) segera menangani isu masalah air di Sipitang.

Ketuanya Encik Sani Miasin berkata, Jabatan Air Negeri dan daerah perlu segera mengambil tindakan pro-aktif menyelesaikan masalah air di Sipitang dan Sindumin yang telah berlarutan sejak sekian lama.

Beliau berkata, masalah gangguan air merupakan salah satu daripada masalah utama yang sering dihadapi oleh penduduk kampung dalam kawasan parlimen Sipitang.

“Hampir setiap hari Pemuda UMNO Sipitang menerima aduan daripada penduduk kampung berhubung masalah ketiadaan bekalan air…

Terdapat kampung yang menghadapi masalah air sehingga berminggu-minggu.

“Keadaan bertambah buruk apabila kontraktor yang terlibat dalam kerja-kerja pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo menyebabkan saluran paip pecah, kelewatan mengalihkan saluran paip daripada jajaran jalan raya, masalah tekanan dan kerosakan pam di logi-logi air”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sani mengulas laporan yang tular di media sosial berhubung lebih 300 penduduk di Sipitang terjejas akibat saluran paip pecah yang dipercayai berpunca daripada kerja-kerja pembinaan lebuh raya Pan Borneo di kawasan berkenaan.

Penduduk dari beberapa kampung di daerah ini terpaksa berhimpun di Jalan Pantai Sindumin, pada Isnin bagi mendapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan berhubung masalah air yang dihadapi mereka sejak dua minggu lalu.

Penduduk kampung berhimpun sejak awal pagi untuk mendapat penjelasan daripada wakil kontraktor dan menuntut supaya paip yang rosak dibaiki segera supaya bekalan air dapat disalurkan kepada rumah penduduk yang terjejas.

Sani berkata, keadaan itu menyukarkan penduduk kampung ditambah pula umat Islam sedang memasuki bulan Ramadhan di mana bekalan air sangat diperlukan ketika ini untuk kerja harian.

“Disebabkan tiada air, penduduk terpaksa bergantung kepada tadahan air hujan serta atas inisiatif sendiri membeli air bersih di Pekan Sipitang untuk kegunaan seharian…

“JAS dan pihak berkenaan perlu bertindak pro-aktif menghantar bantuan air menggunakan lori tangki air ke lokasi yang sering berlaku gangguan bekalan air, lebih-lebih lagi pada musim Ramadhan ini,” katanya.

Sani berkata, Pengarah baharu JAS dan pegawainya perlu turun padang, meninjau dan mencari jalan menyelesaikan masalah air yang dihadapi penduduk Sipitang, memandangkan JAS Daerah Sipitang menghadapi kekangan dalam menangani masalah itu sejak sekian lama.

Menurutnya, kegagalan JAS menyelesaikan masalah air di Sipitang akan menjejaskan nama baik Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya, Kerajaan GRS-BN amat prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh rakyat di negeri ini, namun sekiranya jabatan kerajaan berkaitan yang dipertanggungjawabkan gagal bertindak dan menangani masalah rakyat, nama baik Kerajaan GRS-BN yang terjejas.

Beliau juga memohon agar Ahli Parlimen Sipitang, YB Tn Hj Yamani Hafez Tan Sri Musa dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, YB Datuk Dr.Yusof Yakub bersama-sama tampil membantu penduduk-penduduk kampung yang terjejas akibat masalah gangguan bekalan air yang tiada kesudahan.