Wanita Guna ‘Pay-Wave’ Belanja Duit Orang Lain | Sabah News

Wanita Guna ‘Pay-Wave’ Belanja Duit Orang Lain | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Suspek seorang perempuan ditahan kerana menggunakan kad ATM mangsa…

KENINGAU, SABAH – Seorang wanita yang menghabiskan RM 1,365 secara kaedah ‘Pay Wave’ menggunakan kad ATM yang ditemuinya menerima padah dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah sini kelmarin.

Tindakan sepatutnya adalah untuk mengembalikan kad tersebut kepada pihak berkuasa namun suspek berumur 33 tahun itu bergaya seolah-olah durian runtuh.

Ketua Polis Daerah Keningau, Nor Rafidah Kasim berkata, sejarah transaksi suspek menggunakan kad ATM Bank CIMB itu menunjukkan suspek telah berbelanja sakan di pasar raya dan stesen minyak sekitar daerah.

“Mangsa telah membuat laporan kehilangan kad miliknya yang dipercayai tercicir semasa berada di Keningau…

“Hasil semakan melalui aplikasi ‘CIMB Clicks’ mendapati, wang di dalam akaun miliknya itu semakin berkurangan.

“Bertindak atas maklumat risikan, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil berjaya menahan seorang wanita tempatan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Rafidah, suspek berkata bertindak demikian kerana “mahu membeli barang keperluan diri”.

“Siasatan kes masih dijalankan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Jenayah Komputer 1997,” tambahnya.