U-Science UMS, Pusat Sains Negara Bincang Kerjasama Strategik Jangka Panjang | Sabah News

U-Science UMS, Pusat Sains Negara Bincang Kerjasama Strategik Jangka Panjang | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Zawawi (tengah) turut memberikan buku-buku terbitan UMS kepada Ketua Panitia Sains SK Kundasang, Mohd. Izamuddin Kassim semasa membawa rombongan PSN melawat ke sekolah itu. Turut kelihatan Norhafeza (tepi kanan), Pegawai Sains Kanan U-Science, Malcolm Jilimin (dua kanan); dan Ketua Panitia Pendidikan Seni Visual, Azlan Jaibi (tepi kiri)…

KOTA KINABALU, SABAH – U-Science, Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima rombongan lawatan kerja daripada Pusat Sains Negara (PSN) baru-baru ini.

Ketua U-Science, Zawawi Datuk Tiyunin berkata, kunjungan tersebut antara lain bertujuan untuk membincangkan kerjasama strategik selain sesi perkongsian maklumat antara kedua belah pihak.

“Semasa menerima kunjungan ini, kita telah memberi penerangan tentang usaha-usaha yang dijalankan U-Science termasuk pameran STEM Exhibit@UMS: The Beginning yang berlangsung sejak 23 Mac hingga 27 Mei 2022.

“U-Science juga telah menyatakan hasrat kepada PSN untuk memeterai kerjasama lebih mendalam seperti menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menguatkan lagi hubungan kerjasama dua hala,” katanya.

Zawawi (dua kanan) mengiringi Norhafeza (tiga kanan) dan rombongan PSN melawat pameran Kelab Robotik UMS…

Zawawi berkata demikian dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya, buat masa ini, PSN juga telah menempatkan beberapa bahan di ruang pameran U-Science.

“Selain itu, Pusat Sains Negeri sedang menilai keberfungsian dan kesesuaian beberapa bahan pameran lain untuk dipindahkan ke sini…

Kakitangan U-Science, Pusat Pengurusan Inovasi dan Pengkomersialan, Perpustakaan UMS dan ahli Kelab Robotik UMS mengambil gambar bersama rombongan PSN. Turut kelihatan Zawawi (berdiri tujuh kiri) dan Norhafeza (berdiri tujuh kanan)…

“Dengan kerjasama yang lebih strategik, saya percaya penganjuran program-program untuk membudayakan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada masyarakat Sabah boleh dirangka dan dilaksanakan dengan lebih menyeluruh dan berkesan,” jelasnya.

Rombongan PSN yang diketuai Penolong Pengarah Seksyen Pameran, Norhafeza Husain turut dibawa melawat ke Taman Eko Sains Sekolah Kebangsaan Kundasang, dan Taman Budaya dan Inovasi Kundasang (TABIK).

Zawawi berkata, ia bagi memperlihatkan projek yang dibangunkan U-Science bersama masyarakat di kawasan tersebut.

“Kita berterima kasih atas kesudian PSN untuk membuat lawatan kerja dengan UMS…

“Terima kasih kepada semua yang datang termasuklah Penolong Jurutera PSN, Muhaizam Hamzah; Juruteknik, Abd. Shukor Al-Fariz Ahmad Sayuti; dan Pembantu Kemahiran, Alisa Cussey Murphy,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zawawi juga mempelawa orang ramai ke Pameran STEM Exhibit@UMS: The Beginning yang kini dibuka kepada umum secara percuma.

Katanya, pameran itu diadakan bertempat di U-Science, Bangunan Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah sehingga 27 Mei 2020.

“Pameran akan dibuka setiap hari kecuali hari Sabtu, Ahad dan cuti umum bermula pukul 9.30 pagi – 4.00 petang,” katanya.