Rahmat Hujan Di Bazar Ramadhan Asia City | Sabah News

Rahmat Hujan Di Bazar Ramadhan Asia City | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Irene (kiri) bersama pembantunya di gerai lot 73, Bazar Asia City…

KOTA KINABALU, SABAH – ‘Lenchon Manuk’ (ayam golek) kembali berputar di Bazar Ramadhan Asia City kelmarin setelah dua tahun sabar menanti prosedur operasi standard (SOP) negeri dilonggarkan.

Pengusaha gerai Lot 73, Irene Teoh Onn, gembira dapat menghidangkan semula resepi beliau kepada orang ramai.

Tahun ini merupakan kali kedua usahawan wanita itu mencuba nasib di bazar tersebut sebelum terhenti angkara pandemik.

“Rindu mau tengok bazar. Masa perintah kawalan pergerakan (PKP) dan sebelum bazar dibenarkan beroperasi, kami cuma memasak di rumah dan membuat penghantaran atau pelanggan akan mengambil makanan itu sendiri (COD)…

Pengunjung mula membanjiri Bazar Asia City sekitar jam 4 petang semalam…

“Selain itu kadang-kadang kami dijemput untuk ke program pasar malam selama dua atau tiga hari…

“Alhamdulilah, dengan pembukaan semula bazar ini, pintu rezeki kami sedikit sebanyak diperluaskan,” katanya ketika ditemui Sabah News kelmarin.

Pada mulanya, beliau pesimis dengan sambutan orang ramai terhadap bazar itu dan gerainya sendiri.

“Bagi hari pertama ini saya lihat kurang sikit dari tahun-tahun sebelumnya. Dulu kalau sekarang (pukul 3 petang), ramai sudah orang…

“Sekarang pun sudah hujung minggu dan cuaca ini mungkin akan menyukarkan pelanggan,” katanya.

Namun Irene akan “memakan” ayat beliau sendiri kerana pada sekitar jam 5.30, gerainya dilihat dikerumuni pembeli meskipun hujan renyai mula merintik.

Beliau menjanjikan juadah ayamnya, dengan resepi yang telah diperhalusi, merasa lebih ‘juicy’ berbanding yang lain.

Salah satu keunikan set makanan Irene ialah nasi beras bukit yang turut menjadi satu titik jualan.

Berkenaan penguatkuasaan SOP, beliau berkata tiada kekangan yang ketara sementara beranggapan bahawa orang ramai sudah mula selesa dalam norma baharu.

“Memang ada penjarakan antara gerai seperti diarahkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) tapi selain itu yang berbeza mungkin pelitup muka sahaja,” katanya.

Bazar Asia City di antara 16 bazar sekitar daerah di bawah penyeliaan DBKK yang akan beroperasi sehingga 2 Mei.