KETUA MENTERI ARAH SEDIA TERUSKAN PEMBANGUNAN CIQS KALABAKAN | Sabah News

KETUA MENTERI ARAH SEDIA TERUSKAN PEMBANGUNAN CIQS KALABAKAN | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Ketua Eksekutif Sedia Datuk Hashim Paijan (kanan) berbincang dengan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sebelum mesyuarat bermula….

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sekali lagi mengulangi bahawa pembangunan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di Serudong, Kalabakan dan Bantul, Pagalongan menjadi keutamaan bagi Sabah dan tidak harus ditangguhkan.

Beliau mengarahkan Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA), yang merupakan pihak berkuasa negeri bagi pembangunan bandar sempadan ini, untuk meneruskan perkara itu berikutan laporan bahawa projek CIQS Kalabakan terpaksa ditangguhkan kerana pembiayaan tidak mencukupi daripada Kementerian Kewangan Persekutuan.

Ketua Menteri mengeluarkan arahan itu ketika mempengerusikan mesyuarat SEDIA di Menara Kinabalu sini hari ini…

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bercakap dengan Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Joachim Gunsalam sebelum mesyuarat bermula…

Pada mesyuarat itu, Hajiji yang juga Pengerusi SEDIA dimaklumkan bahawa jumlah kos pembangunan CIQS Kalabakan ialah RM815 juta di mana RM600 juta adalah untuk pembinaan jalan sepanjang 39km dan RM215 juta untuk pusat CIQS.

Pembangunan CIQS di Pagalongan termasuk pembinaan jalan raya akan menelan belanja sebanyak RM509.4 juta.

Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Pejabat Perdana Menteri memberitahu mesyuarat itu bahawa EPU tidak mempunyai bantahan terhadap projek yang telah diumumkan dalam Bajet Persekutuan 2020 tetapi menasihati Sedia untuk meneruskan perkara itu dengan kementerian-kementerian berkaitan.

Terdahulu, Hajiji berkata SEDIA akan melaksanakan 30 inisiatif di bawah Pelan Tindakan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) 2030 sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi seimbang di seluruh koridor di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata inisiatif di bawah pelan itu, yang juga untuk menangani kesan pandemik, merangkumi lima teras strategik iaitu ekosistem perniagaan, ekonomi, modal insan, pembangunan sosial dan kemampanan alam sekitar.

“Pelan Tindakan SDC 2030 diselaraskan dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Kempen Keluarga Malaysia dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) serta Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah SEDIA.

“Peralihan Pelan Pemulihan Negara (PPN) ke Fasa Peralihan Endemik mulai bulan ini akan memberikan kesan signifikan kepada pelbagai sektor terutamanya industri pelancongan di Sabah melalui pembukaan semula sempadan negara.

“Sabah juga amat mengalu-alukan kedatangan pelancong dalam dan luar negara ke negeri ini.

“Kerajaan negeri akan terus menyediakan langkah pemulihan negeri ini melalui beberapa pelan tindakan pembangunan sosio-ekonomi negeri…

“Kerajaan Negeri juga telah mengariskan sebanyak 584 inisiatif meliputi 304 inisiatif teras dan 280 inisiatif pemboleh daya yang mana akan memfokuskan kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi Sabah di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” tambahnya.

Hajiji berkata di bawah RMK-12, sejumlah RM187.5 juta telah diperuntukkan kepada SEDIA untuk tujuh projek dan sehingga Februari 2022, SEDIA telah menerima sebanyak RM74.25 juta.

“Antara projek mega di bawah RMK-12 ialah Cadangan SDC untuk Pembesaran
Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar, yang juga merupakan projek pertama di Sabah melaksanakan Program Kolaborasi Industri (ICP),” katanya

ICP ialah program inisiatif kerajaan untuk aktiviti perolehan yang melibatkan bekalan, perkhidmatan dan kerja untuk memastikan pulangan daripada pelaburan yang dibuat kerajaan bagi projek mega dengan kos melebihi RM100 juta yang akan memberi manfaat dan impak kepada pembangunan industri tempatan, katanya.

“Saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa nilai kredit ICP bagi cadangan pembesaran Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar setakat ini telah mencecah RM493 juta atau 54.8 peratus merangkumi sembilan projek,” kata Hajiji yang juga Menteri Kewangan Negeri.

Beliau berkata inisiatif pembangunan modal insan – SDC-Skills and Talent Enhancement
Programme (SSTEP) juga telah dilancarkan pada 2021 untuk mengimbangi pandemik COVID-19 melalui pemadanan pekerjaan dengan penyediaan latihan kemahiran dan kemahiran semula (reskilling) kepada pencari kerja.

Sehingga 11 Mac tahun ini, sebanyak 87 program yang ditawarkan oleh majikan dan penyedia latihan yang berdaftar di bawah SSTEP berjaya menarik 633 peserta. Sebanyak 60 buah program telah pun disiapkan.

Ketua Menteri berkata sejumlah RM58.8 juta telah diagihkan kepada 41 negeri dan 11 kawasan parlimen di Sabah untuk menaik taraf infrastruktur awam dan pembasmian kemiskinan di kawasan SEDIA di bawah projek kecil, berimpak tinggi dan berjiwa rakyat.

“Kerajaan Negeri terus komited ke arah mempertingkatkan agenda pembangunan negeri, program dan inisiatif yang telah dilaksanakan di bawah Pelan Tindakan SDC 2030 yang mampu memperkukuh strategi pembangunan pada masa hadapan,” katanya.

Hajiji berkata, sebagai salah satu Pihak Berkuasa Koridor Wilayah, SEDIA memainkan peranan penting dalam memudahkan kerjasama yang lebih kukuh antara negeri dan Persekutuan dalam menggalakkan pembangunan seimbang di Malaysia.