Inisiatif MySTEP, 90 Graduan Sabah Diambil Bekerja Dengan Peruntukan RM1.4 Juta | Sabah News

Inisiatif MySTEP, 90 Graduan Sabah Diambil Bekerja Dengan Peruntukan RM1.4 Juta | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Para peserta mengambil gambar kenang-kenangan. Turut kelihatan Taufiq (duduk tengah), Soon (duduk dua kanan) dan Zuber (duduk dua kiri)…

KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 90 graduan universiti awam menamatkan program Inisiatif Latihan dan Penempatan Jangka Pendek (MySTEP) anjuran bersama Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar (PKPKP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan syarikat Britay Asia (M) Berhad.

Pengarah PKPKP UMS, Dr Soon Singh Bikar Sing berkata, program tersebut dilaksanakan selama dua minggu membabitkan peserta dari seluruh daerah Sabah.

“Para peserta terdiri daripada graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan graduan UMS sendiri…

Taufiq menyampaikan sijil tamat latihan MySTEP kepada salah seorang peserta…

“Kesemua peserta akan bekerja dengan pihak industri selama setahun yang mana pembayaran gaji enam bulan pertama dibuat melalui syarikat Britay Asia (M) Sdn. Bhd, manakala enam bulan seterusnya dibayar oleh majikan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis tamat latihan program MySTEP Britay @UMS 2022, di sini pada Jumaat.

Majlis perasmiannya disempurnakan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin. Hadir sama, Pengarah Urusan Britay, Haji Zuber Mohd Isa.

Taufiq menyampai cendera kenangan kepada Zuber…

Menurut Soon, sepanjang satu tahun bekerja, sudah pasti para graduan akan mempunyai pengalaman dan pendedahan dalam pekerjaan dengan pihak industri.

“Mereka juga akan berpotensi diserap dan bekerja terus dengan pihak industri,” katanya…

Dalam pada itu, Taufiq dalam ucapannya berkata, MySTEP merupakan salah satu program Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia yang menawarkan 80,000 peluang pekerjaan dalam sektor awam, syarikat milik kerajaan (GLC) dan rakan-rakan strategik.

“Saya percaya program ini bukan sahaja akan menjamin penempatan pekerjaan kepada peserta, bahkan sepanjang 14 hari pelbagai pengisian seperti latihan kemahiran insaniah, taklimat industri dan sesi temu duga dijalankan melibatkan hampir 40 industri.

“Kepada semua peserta, perjalanan kerjaya anda telah pun bermula. Harungilah dengan penuh dedikasi, semangat dan keikhlasan. Jangan pernah berasa ragu dengan potensi diri,” katanya.

Terdahulu, Zuber dalam ucapan aluannya memaklumkan program MySTEP diperkenalkan untuk menangani pengangguran, meningkatkan kebolehpasaran dan merangsang pemulihan ekonomi domestik.

“Program ini ditaja oleh Khazanah Nasional. Di pihak Britay Asia pula, kita diberi tanggungjawab sebagai pengurus pelaksana…

“Penganjuran bersama UMS ini merupakan yang julung kalinya diadakan di Sabah,” ujar beliau yang turut mengumumkan gaji ditawarkan kepada peserta sebanyak RM2,150 sebulan.

Untuk rekod, pihak industri yang terlibat dalam program itu termasuklah Golden Borneo Centre Sdn. Bhd., Kuo Dental Sdn. Bhd., Astana Hotel, Ezytape Sdn. Bhd., Topaz Travel d Borneo Sdn. Bhd., dan Institusi Kecantikan Negeri Sabah.

Ia membabitkan peruntukan tajaan sebanyak RM1.4 juta daripada Khazanah Nasional.