Ibu Bapa Dinasihati Untuk Tidak Membawa Kanak-Kanak Ke Bazar Ramadan | Sabah News

Ibu Bapa Dinasihati Untuk Tidak Membawa Kanak-Kanak Ke Bazar Ramadan | Sabah News

Kongsikan Berita Ini





Gambar Hiasan…

BAGAN SERAI: Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali menasihati para ibu bapa untuk tidak membawa anak-anak kecil khususnya bayi ke kawasan sesak seperti bazar Ramadan kerana ia memberi risiko kepada penyebaran COVID-19.

Jelas beliau, ini kerana biarpun negara memasuki fasa peralihan ke endemik, itu tidak bermakna bahaya COVID-19 telah tiada.

Menurutnya sebelum memasuki fasa ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berulang kali menasihati rakyat agar tidak lalai dan sentiasa patuh pada prosedur operasi standard (SOP) walaupun kes harian menunjukkan penurunan.

“Melihat suasana hari pertama di bazar Ramadan di sini (Bagan Serai) kita dapati ramai pengunjung membawa keluarga dan anak-anak kecil…

“Sebenarnya ini bukan masa sesuai dan jika boleh jangan bawa anak-anak kecil khususnya bayi di tempat sebegini kerana mereka ini berisiko tinggi terdedah dengan bahaya COVID-19 kerana ramai belum divaksin.

“Tinjauan di bazar ini saya dapati ada yang jaga SOP dan ada juga yang lalai dan perkara inilah yang menjadi kebimbangan kita kerana ia boleh mencetuskan kluster baru,” katanya dalam satu sidang media baru-baru ini.