DNB KEMUKA SOLUSI MENANG-MENANG

Kongsikan Berita Ini

Setelah berbulan-bulan bertikam lidah dalam isu pembangunan spektrum 5G, akhirnya kerajaan persekutuan dan syarikat telekomunikasi menemui jalan penyelesaian. Menerusi satu kenyataan media bersama oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, kerajaan telah mengumumkan bahawa model perkongsian awam-swasta akan digunapakai oleh Digital Nasional Berhad (DNB).

Kerajaan yang setakat ini memiliki 100 peratus ekuiti DNB telah bersetuju untuk menawarkan sehingga 70 peratus pegangan ekuiti DNB kepada syarikat-syarikat telekomunikasi, manakala kerajaan akan terus memegang 30 peratus kepentingan.

Strategi ini merupakan situasi menang-menang bagi kesemua pemegang taruh yang terlibat. Kerajaan berjaya mengekalkan pembangunan 5G secara Rangkaian Borong Tunggal (SWN). Syarikat telekomunikasi pula dapat terlibat sama dalam pelaksanaan jalur lebar 5G setelah sebelum ini dikecualikan.

Bagi pengguna pula, kerjasama di antara kerajaan dan syarikat telekomunikasi menerusi DNB akan meleraikan kekusutan yang selama ini menjadi punca penangguhan pembangunan 5G di Malaysia. Sekiranya usahasama ini berjalan lancar, liputan 5G dijadualkan akan dinikmati 80 peratus kawasan berpenduduk negara menjelang 2024.

Sebelum ini, syarikat telekomunikasi memonopoli pembangunan 3G dan 4G di Malaysia. Hal ini mengakibatkan capaian akses internet yang tidak seimbang. Syarikat telekomunikasi mengutamakan kawasan-kawasan yang mempunyai nilai komersil yang lebih tinggi untuk membina fasiliti jalur lebar. Kesannya, jurang digital di antara pusat bandar dan kawasan luar bandar terlalu lebar.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), kualiti rangkaian 4G bagi bandar-bandar utama di Semenanjung Malaysia seperti Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru adalah sekitar 84% berbanding hanya 44% bagi kawasan pedalaman di Malaysia Timur.

Lebih malang, penduduk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak terpaksa membayar harga yang sama untuk mendapatkan akses internet yang jauh lebih lemah berbanding penduduk di Semenanjung Malaysia.

Semakan harga mendapati Maxis mengenakan bayaran antara RM35 hingga RM60 untuk perkhidmatan internet tanpa had dengan kelajuan jalur lebar antara 5Mbps dan 24Mbps. Digi pula mengecaj pengguna antara RM45 dan RM105 untuk data internet berkapasiti antara 25GB dan 100GB sebulan. Celcom menawarkan pakej internet bulanan antara RM38 hingga RM58 untuk kelajuan sehingga 6Mbps sahaja.

Disebabkan pembangunan fasiliti yang tidak seimbang, kebanyakkan kawasan di Sabah dan Sarawak hanya berupaya memperoleh kelajuan jalur lebar setakat 5Mbps sahaja meskipun mereka melanggan pelan yang paling mahal di pasaran.

Melalui model perkongsian awam-swasta yang diaplikasikan DNB, situasi ini dijangka tidak akan berulang. DNB memerlukan pengalaman luas syarikat telekomunikasi dalam membangunkan jaringan jalur lebar di Malaysia. Walaubagaimanapun, mereka kini akan lebih terkawal agar menjalankan pembangunan 5G yang seimbang memandangkan kerajaan turut memiliki kepentingan ekuiti di dalam DNB.

Dunia sudah berevolusi. Kini, internet adalah hak asasi. Malaysia masih belum terlewat dalam perlumbaan menuju ke arah ekonomi digital. DNB dan spektrum 5G adalah harapan Malaysia untuk kembali berdaya saing di peringkat global.

Sumber Dari Meja Penulis :