864,450 Warga Emas Masih Belum Ambil Dos Penggalak | Sabah News

864,450 Warga Emas Masih Belum Ambil Dos Penggalak | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Khairy Jamaluddin…

PETALING JAYA –  Seramai 864,450 warga emas berusia 60 tahun ke atas di Malaysia masih belum mendapatkan dos penggalak.

Perkara itu dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi satu hantaran di laman Twitternya.

Tambah beliau, kes kematian akibat Covid-19 masih lagi tertumpu kepada golongan itu.

“Seramai 864,450 warga emas berusia 60 tahun ke atas masih belum menerima dos penggalak.

Kes kematian sekarang banyak tertumpu kepada golongan tersebut terutama yang belum boosted (menerima dos penggalak).

“Dalam fasa peralihan ini, kita harus melindungi golongan berisiko tinggi seperti orang tua kita. Dapatkan dos penggalak buat mereka,” ciapnya hari ini.

Sementara itu, Khairy Jamaluddin turut berkongsi infografik menunjukkan kadar kematian kerana Covid-19 membabitkan golongan tersebut sejak 12 minggu lepas adalah tertinggi.

Dalam masa yang sama, beliau menasihatkan orang ramai untuk terus mengambil langkah berjaga-jaga dalam fasa peralihan ini.

“Alhamdulillah masjid mula penuh untuk solat berjemaah. Teruskan pakai pelitup muka dengan cara yang betul.

“Pakai pelitup muka dengan betul (terutamanya di tempat tertutup) dengan pengudaraan yang baik adalah amat penting dalam kita menguruskan wabak Covid-19,” ujarnya.