MCMC, DBKK Meterai MoU Laksana Sistem CIPM | Sabah News

MCMC, DBKK Meterai MoU Laksana Sistem CIPM | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Kredit Foto: Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC)

KOTA KINABALU, SABAH – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk melaksanakan Sistem Pengurusan Permit Infrastruktur Komunikasi (CIPM) di sini, kelmarin (2 April).

MCMC dalam kenyataan memaklumkan MoU itu ditandatangani Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Noorliza Awang Alip dan Ketua Pegawai Operasi MCMC Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus, disaksikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap menteri bertanggungjawab kepada DBKK, Datuk Abidin Madingkir.

Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan dan Pengerusi MCMC Datuk Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek.

Kredit Foto: Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC)

Menurut kenyataan itu, DBKK bersetuju mengguna pakai sistem CIPM bagi menambah baik proses sedia ada selain mengurangkan ketirisan pada pendapatan agensi itu selaras dengan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Penggunaan sistem itu antara lain akan dapat memastikan struktur menara didirikan pihak penyedia perkhidmatan mempunyai kelulusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan dapat mengenal pasti struktur menara telekomunikasi yang beroperasi tanpa permit sah.

“Penggunaan sistem CIPM itu juga bertujuan memudahkan urusan permohonan serta kelulusan pembaharuan permit prasarana telekomunikasi oleh PBT dan pemilik prasarana telekomunikasi di masa akan datang,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan sistem CIPM dapat memperkukuhkan tadbir urus dan sistem penyampaian kerajaan melalui perkhidmatan teknologi digital dan secara dalam talian bagi memberikan perkhidmatan berkualiti serta efektif.

Melalui penggunaan sistem CIPM itu juga, ia akan membantu dalam melancarkan pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Dengan maklumat tepat mengenai infrastruktur digital di Sabah, usaha untuk menambah baik kawasan yang tidak mempunyai liputan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Dengan ini, Sabah akan menggunakan sistem CIPM sama seperti di Perlis, Pulau Pinang, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Kuala Lumpur, Labuan dan Sarawak.

– BERNAMA