Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong Disahkan Positif COVID-19 | Sabah News

Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong Disahkan Positif COVID-19 | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah…(Sumber Foto: FB Rasmi Istana Negara)

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menjalani kuarantin kendiri di Istana Negara setelah disahkan positif COVID-19.

Istana Negara dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Sultan Abdullah sedang menjalani kuarantin sehingga 7 April manakala Tunku Azizah sehingga 8 April.

“Perkenan baginda berdua menjalani kuarantin kendiri ini selaras dengan protokol dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi kes positif Covid-19 yang mengalami gejala ringan atau tidak bergejala…

“Seri Paduka Baginda berdua hanya mengalami gejala ringan, Kesihatan baginda berdua secara amnya dalam keadaan baik dan tidak membimbangkan,” katanya.

Katanya lagi, sempena dengan kedatangan Ramadan, baginda menyeru rakyat supaya sentiasa berwaspada dan mengamalkan kawalan kendiri meskipun negara memasuki fasa peralihan ke endemik Covid-19, semalam.

“Seluruh rakyat diseru untuk bersama mendoakan semoga baginda berdua dikurniakan kesembuhan dengan segera serta keafiatan berpanjangan,” katanya lagi.