Sarawak Kini Peneraju Ekonomi Hidrogen Di Rantau Asia Tenggara | Sabah News

Sarawak Kini Peneraju Ekonomi Hidrogen Di Rantau Asia Tenggara | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Pada masa depan, ekonomi bahan api pelbagai termasuk hidrogen dan pengecasan elektrik juga bakal menjadi tulang belakang untuk mempraktikkan kenderaan berasaskan bateri sel bahan api…

KUCHING, SARAWAK – Sarawak kini berada di hadapan dan mengetuai peralihan ke arah ekonomi hidrogen di rantau Asia Tenggara menerusi pelbagai inisiatif kerajaan dalam usaha mencapai kehendak dunia yang bebas daripada pelepasan karbon.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini sekali gus mahu meletakkan Sarawak di pentas dunia dalam ekonomi hidrogen menerusi pelbagai inisiatif kerajaan seperti stesen pengisian bersepadu yang telah dilaksanakan.

Menurutnya, pelancaran stesen pengisian bersepadu adalah satu pencapaian untuk mencapai matlamat ke arah masa depan yang mampan, tenaga dan ekonomi baharu pada masa depan.

“Sehubungan itu, ia merupakan visi yang saya ada untuk Sarawak terutama dalam mencapai matlamat masa depan yang baik menerusi penubuhan stesen pengisian bersepadu ini…

“Bagaimanapun, visi untuk melihat stesen minyak jenama Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) kita sendiri tersergam kukuh kini telah menjadi kenyataan,” katanya semasa melancarkan stesen pengisian bersepadu PETROS di Darul Hana semalam, lapor Utusan Borneo.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Dr Hazland Abang Hipni, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain, Pengerusi PETROS Tan Sri Hamid Bugo dan ahli jemputan yang lain.

Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu berkata, stesen PETROS juga dirancang untuk dibina di sepanjang jalan Pan Borneo di negeri ini.

“Ini kerana stesen ini memainkan peranan penting sekali gus akan diperluaskan dengan adanya pengangkutan awam berteraskan sifar karbon oleh Sarawak Metro.

“Ia membolehkan Sarawak mencapai visinya untuk menjadi sebuah wilayah ekonomi hijau dan bersih,” katanya sambil menambah, pembinaan stesen itu juga sebagai suatu usaha untuk mengurangkan pelepasan karbon serta menggalakkan masa depan sifar karbon dan penggunaan kenderaan elektrik.

Jelasnya, ini kerana pada masa depan, ekonomi bahan api pelbagai termasuk hidrogen dan pengecasan elektrik juga bakal menjadi tulang belakang untuk mempraktikkan kenderaan berasaskan bateri sel bahan api.

“Banyak penduduk Sarawak kelak dijangka menggunakan kenderaan elektrik keluaran Elon Musk iaitu Tesla dan akan berada di jalan raya di wilayah ini,” katanya.

Jelasnya, cawangan kedua kini masih dalam proses pembinaan di Batu Kawa.

Justeru, katanya pembinaan stesen pengisian bersepadu yang tersergam di Darul Hana menunjukkan kesungguhan usaha kerajaan memacu pengurangan pelepasan karbon yang menyebabkan pencemaran selain memastikan udara dan persekitaran yang bersih untuk generasi akan datang.