RTM Komited Perkasa Bahasa Etnik Menerusi Siaran Radio, Televisyen | Sabah News

RTM Komited Perkasa Bahasa Etnik Menerusi Siaran Radio, Televisyen | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

RANAU, SABAH – RTM komited dalam memperkasa bahasa-bahasa etnik menerusi siaran radio mahu pun televisyen.

Pengarah Penyiaran Sabah, Zulkefli Mohd berkata, ini adalah untuk memastikan penyampaian maklumat dan berita yang lebih berkesan kepada masyarakat pelbagai kaum di Sabah.

“RTM juga diperkasa dengan pelbagai peralatan canggih dan terkini. Pada 29 Mac lalu, kenderaan Digital Satellite News Gathering RTM Sabah telah pun dilancarkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Haji Musa.

“Malah, pada waktu ini juga, RTM Sabah sedang giat dinaik taraf dengan peralatan sistem baharu untuk meningkatkan kualiti siaran radio yang dijangka siap September tahun ini…

“Buat pendengar radio, penonton TV RTM dan pengikut setia media sosial RTM, anda adalah ‘semangat’ kami untuk terus menerbitkan rancangan-rancangan segar dan terkini,” ujarnya.

Beliau berkata, SABAHVfm merupakan stesen yang bersiaran 24 jam setiap hari dalam bahasa etnik Kadazan, Bajau Pantai Barat dan Timur, Murut dan Dusun.

“SABAHVfm juga turut bersiaran dalam bahasa Cina Mandarin dan Hakka serta dalam bahasa Inggeris. Pelbagai program yang menarik disediakan oleh para penerbit rancangan untuk memenuhi kehendak pendengar yang terdiri daripada pelbagai etnik di Sabah menerusi saluran ini…

“Selain bersiaran melalui corong radio, SABAHVfm juga boleh didengar melalui siaran Astro saluran 870, RTM mobile seperti aplikasi rtmklik, laman-laman media sosial seperti facebook, insta dan twitter,” katanya di program kemasyarakatan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Rumah Kanak-Kanak Katolik Don Bosco, Bundu Tuhan, di sini hari ini sempena sambutan Hari RTM ke-76.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Penolong Pengarah Kejuruteraan TV RTM, Cyril Simon.

Menurut Zulkefli, sempena sambutan Hari RTM tahun ini, RTM Sabah akan terus berusaha mencipta lebih banyak memori indah bersama komuniti di seluruh negeri.

“Sebagai contoh program pada petang ini melalui CSR SABAHVfm dan yang akan datang Jelajah Keluarga Malaysia RTM Sabah yang merangkumi Jelajah Ramadan, Jelajah Raikan Syawal dan Jelajah Kami Prihatin, bermula April hingga Jun dan menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan bersikap prihatin dengan menghulur bantuan,” jelasnya.

Mengenai program tersebut, beliau berkata, pemilihan Rumah Kanak-Kanak Don Bosco Bundu Tuhan Ranau adalah bertepatan dengan objektif program RTM mendekati dan mengeratkan hubungan warga kerja penyiaran dengan masyarakat sempena sambutan Hari RTM ke-76.

Jelasnya, selaras dengan maksud objektif tersebut, RTM menerusi SABAHVfm terpanggil untuk turun padang dan bertemu dengan penghuni Rumah Kanak-Kanak Don Bosco Bundu Tuhan Ranau terutama selepas pandemik COVID-19 melanda.

Katanya, pelaksanaan pelbagai aktiviti seperti memasak, aktiviti permainan bersama kanak-kanak yang menetap di rumah ini, mengecat dinding bangunan, persembahan hiburan dan nyanyian daripada juruhebah SABAHVfm adalah bertujuan untuk menghiburkan dan mengeratkan silaturahim dengan warga penghuni di rumah ini, serta membuat kerja amal dengan menyampaikan pelbagai sumbangan yang telah disumbangkan oleh kerajaan, syarikat-syarikat swasta dan para individu secara sukarela dan penuh keikhlasan adalah sebahagian daripada aktiviti kemasyarakatan dan tanggungjawab sosial SABAHVfm RTM.

“Dunia penyiaran, baik radio mahupun TV sering dikaitkan dengan dunia glamour. Justeru, RTM mungkin tidak dilihat sebagai golongan barisan hadapan. Namun, peranan RTM sepanjang pandemik Covid-19 sehinggalah fasa peralihan menuju endemik, RTM tetap turun ke lapangan bagi mendapatkan maklumat untuk dilaporkan sebagai berita yang sahih dan terkini kepada masyarakat pada setiap hari…

“Apa yang pasti, Covid-19 masih wujud dalam masyarakat dan oleh itu, suka atau tidak, kita perlu akur untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membendung penularan virus ini. Pada masa sama, kita juga harus terus melindungi diri kita daripada risiko jangkitan walau dimana kita berada,” katanya.

RTM yang kini berusia 76 tahun telah melalui pelbagai fasa perubahan dan yang paling ketara ialah peralihan fasa penyiaran analog ke digital pada pada 31 Oktober 2019.

“Dalam usia ini, RTM bukan lagi sekadar radio dan televisyen semata-mata, malah turut memanfaat medium baharu iaitu media digital atau media sosial menerusi aplikasi mudah alih dan internet. Radio RTM iaitu SABAHfm, SABAHVfm, TAWAUfm, SANDAKANfm dan TAWAUfm kini boleh didengari di mana sahaja menggunakan aplikasi mudah alih, rtmklik dan ditonton menerusi media sosial,” katanya.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Dr Joachim Gunsalam, yang juga Wakil Rakyat Kundasang, diwakili oleh Setiausaha Sulitnya, Japli Sami di program tersebut.

Turut hadir ialah Pengurus SABAHfm, Felix Lee dan Pengurus SABAHVfm, Lalitha Sundram.