Guarana Belum Ada Nilai, Mudaratkan Industri Getah Sabah – Jeffrey | Sabah News

Guarana Belum Ada Nilai, Mudaratkan Industri Getah Sabah – Jeffrey | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan…

KENINGAU, SABAH – Mengulas isu tanaman guarana di Sabah, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata kerajaan telah berulang kali mengeluarkan kenyataan membantah promosi dan penanaman guarana di Sabah.

“Guarana kekal haram dan kita tidak bercadang untuk menghalalkannya kerana ia mendatangkan kemudaratan kepada industri getah kita…

“Tengok Brazil, mereka tidak lagi mempunyai industri getah. Jadi, kita kena pilih antara guarana dan getah,” katanya.

Menteri Pertanian dan Perikanan itu dimaklumkan tentang ramai individu yang sedang giat merekrut petani yang tidak berwaspada di Keningau dan Tambunan untuk menghadiri majlis ceramah berkaitan guarana.

Peserta yang berminat diminta membayar yuran untuk menghadiri seminar ‘peluang perniagaan’.

“Saya mohon rakyat tidak terpedaya dengan skim penanaman guarana ini…

Orang yang menganjurkan acara berkaitan guarana ini hanya sedang mengumpul wang daripada orang yang mudah tertipu dengan matlamat untuk memperbodohkan mereka.

“Anda boleh pergi dan mendengar, ia tidak menyalahi undang-undang sekarang. Namun, jangan tanam guarana ini kerana ia akan memusnahkan industri getah kita.

“Kita tidak tahu bagaimana guarana akan memberi manfaat kepada kita, tetapi kita sudah tahu bagaimana ia akan memusnahkan industri pertanian kita, terutamanya getah,” katanya.

Kitingan berkata kerajaan sedang dalam proses menggubal ordinan yang akan membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur majlis berkaitan skim penanaman guarana.

Pada masa ini, kementerian hanya menggunakan undang-undang persekutuan yang sedia ada untuk memerangi penyebaran guarana di seluruh negara.

“Kami hanya boleh menghentikan tumbuhan ini di pintu masuk negara. Sebaik sahaja ia melintasi sempadan, kita tidak mempunyai bidang kuasa lagi.

“Malangnya, apabila melibatkan penipuan, undang-undang memerlukan laporan polis dibuat sebelum tindakan boleh diambil terhadap penganjur,” katanya sambil menambah tiada laporan polis dibuat setakat ini.

Beliau juga berkata ia tidak diketahui pun sama ada tumbuhan guarana ini tulen seperti yang didakwa oleh penganjur-penganjur.

“Walaubagaimanapun, kita menyedari bahawa ini kemungkinan besar hanya sebuah operasi penipuan. Elakkan mereka dalam apa cara sekalipun,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.