RTM PERLU PERBANYAKKAN PROGRAM BERKAITAN SABAH – KM HAJIJI | Sabah News

RTM PERLU PERBANYAKKAN PROGRAM BERKAITAN SABAH – KM HAJIJI | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor memotong kek sempena ulang tahun RTM ke-76 di K-KOM Kota Kinabalu…

KOTA KINABALU, SABAH – RTM perlu perbanyakkan program berkaitan Sabah bagi membantu kerajaan menarik lebih ramai pelancong ke Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya, program-program berkaitan negeri Sabah termasuk budaya dan etnik dapat membantu mempromosikan Sabah, terutama dengan pembukaan semula sempadan negara bermula hari ini.

Menurutnya, sebagai badan penyiar yang masih relevan, RTM memainkan peranan penting dalam membantu usaha kerajaan menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

“Saya berharap lebih banyak lagi program yang berkaitan dengan Sabah termasuk budaya dan etnik diterbitkan atau ditambahbaik pengisiannya.

“Ini kerana program tersebut, bukan sahaja masih relevan kepada penduduk di negeri ini, malah dapat membantu mempromosikan budaya rakyat berbilang kaum menerusi saluran radio atau televisyen milik RTM,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Sambutan Hari RTM ke-76 Peringkat Negeri Sabah di lobi Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-Komm), hari ini.

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri II/ Menteri Pertanian dan Perikanan, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G.Kitingan.

Katanya, Kerajaan Negeri menyambut baik usaha dan komitmen RTM untuk memperkasa keupayaannya dalam menerbitkan kandungan rancangan dalam pelbagai medium bahasa, seperti Inggeris, Cina, malah bahasa-bahasa etnik Kadazan, Dusun, Murut, Bajau Pantai Barat serta Bajau Pantai Timur.

“Kita yakin, pemerkasaan bahasa etnik khususnya di Sabah dapat memastikan penyampaian maklumat yang lebih jelas dan berkesan kepada masyarakat pelbagai kaum di negeri ini,” tegasnya.

Menurutnya, RTM merupakan jenama stesen penyiar yang tidak asing di negara ini, malah turut dikenali di merata dunia terutama dalam kalangan negara-negara jiran, kerana peranannya sebagai penyiar rasmi Kerajaan Malaysia telah merentasi zaman sejak penubuhannya.

“Walaupun dalam usia 76 tahun, RTM terus bersemangat, semakin aktif mencipta lebih banyak kemajuan termasuk penyiaran menerusi platform media digital, sama ada internet mahupun aplikasi mudah alih.

“Justeru, tidak hairanlah, stesen radio dan saluran televisyen RTM kini bukan sahaja dapat didengari khalayak menerusi corong radio semata-mata, malahan menerusi media digital seperti rtmklik, dan media-media sosial,” tambahnya.

Hajiji yakin, usaha RTM menjalin kerjasama strategik dengan Angkatan Pertahanan
Awam Malaysia (APM) menerusi penubuhan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Angkatan Pertahanan Awam (CDERT) RTM di seluruh negara, mampu mempertingkatkan lagi keberkesanan dalam menyampaikan maklumat mutakhir yang sahih kepada masyarakat terutama dalam menghadapi situasi bencana dan kecemasan.

Katanya, RTM juga akan melaksanakan Program Jelajah Keluarga Malaysia RTM, terdiri daripada Jelajah Ramadan, Jelajah Raikan Syawal dan Jelajah Kami Prihatin bermula April hingga Jun ini, sebagai tanggungjawab sosial terhadap masyarakat khususnya yang kurang bernasib baik.

“Kerajaan negeri juga ingin merakamkan terima kasih kepada semua warga RTM Sabah yang terus bertungkus lumus memberi maklumt berkaitan pandemik COVID-19 kepada rakyat, menerusi pelbagai bidang penerbitan sama ada radio atau televisyen, sejak lebih dua tahun lalu,” katanya.

Hajiji turut mengucapkan tahniah kepada seluruh warga RTM sempena Sambutan Hari RTM ke-76 Peringkat Negeri Sabah dan Penubuhan CDERT RTM Sabah, berharap RTM terus gah sebagai agensi penyiaran negara menerusi penerbitan rancangan dan program berkualiti tinggi selaras tema sambutan iaitu ‘Terus Unggul’.